Crescendo adakan EGM cadang jual tanah industri di Kota Tinggi bernilai RM200.88 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Crescendo adakan EGM cadang jual tanah industri di Kota Tinggi bernilai RM200.88 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 JanCrescendo Corporation Berhad merancang mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memperoleh persetujuan pemegang saham melupuskan sebidang tanah di Kota Tinggi, Johor.


Penjualan hartanah industri tersebut yang bernilai RM200.88 juta itu, merupakan sebahagian daripada usaha mengoptimumkan portfolio aset dan membuka nilai pegangan hartanah bukan teras kumpulan.


Syarikat itu memaklumkan yang cadangan berkenaan akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh, Crescendo Development Sdn Bhd, dengan melibatkan tanah yang berkeluasan kira-kira 16.23 hektar.


"Aset ini bakal dilupuskan kepada Pioneer Real Estate Development Sdn Bhd, tertakluk kelulusan pemegang saham pada EGM yang dijadualkan 9 Februari 2026," maklum Crescendo kepada Bursa Malaysia.


Menurutnya, penjualan tanah industri kosong tersebut dijangka membolehkan kumpulan merealisasikan nilai aset yang sudah lama dipegang, di samping berpotensi bagi menjana aliran tunai secara cekap.


Langkah ini menyokong keperluan operasi, pengukuhan kedudukan kewangan dan perancangan strategik masa hadapan, selari strategi rasionalisasi pegangan tanah yang tiada menjana pulangan segera.


Hasil pelupusan itu kata Crescendo, disalurkan semula sebagai modal kepada peluang pelaburan yang berpotensi memberikan pulangan secara mampan, termasuk pembangunan hartanah bernilai tambah.


"Tanah ini dipegang di bawah hak milik HS (D) 62047 PTD 50886, dengan terma-terma utama tertakluk kepada perjanjian jual beli bersyarat yang dimeterai pada 14 November 2025," jelas kumpulan itu.


Di samping itu tambahnya, EGM tersebut akan diadakan di Hotel Holiday Inn Johor Bahru City Centre, Johor dengan tarikh kelayakan untuk rekod pemegang saham ditetapkan paling lewat 30 Januari 2026.


Lembaga Pengarah Crescendo diberi kuasa penuh melaksanakan dan memuktamadkan transaksi, termasuk sebarang pindaan yang diperlukan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com