KUALA LUMPUR 27 Jan - Country View Berhad mencatatkan keuntungan bersih melonjak tinggi sebanyak RM82.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2025, berbanding RM25.5 juta pada FY24.
Prestasi luar biasa ini didorong terutamanya oleh penjualan empat plot tanah komersial sepanjang tahun serta kemajuan kerja yang pesat bagi projek pembangunan hartanah di Iskandar Puteri, Johor.
Secara keseluruhannya, hasil dan keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi FY25 turut mencatatkan tahap tertinggi dalam sejarah sejak syarikat disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2002.
"Pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 94% kepada RM379.7 juta bagi tahun di bawah tinjauan, berbanding RM195.4 juta pada tahun kewangan 2024," maklum Country View kepada bursa hari ini.
Prestasi suku keempat FY25 pula jelas kumpulan pemaju dan pengurusan hartanah itu mencatatkan keuntungan bersih RM18.8 juta, meningkat 79% daripada RM10.5 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Selain jualan tanah, peningkatan ini disumbangkan oleh jualan unit status Bumiputera dilepaskan bagi kedai tiga tingkat Aurora Avenue dan Aurora Resort Villas di Aurora Sentral pada harga tinggi.
Tidak ketinggalan tambah Country View, jualan kediaman kos rendah di bawah skim Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Nusa Sentral, turut menjadi penyumbang utama kepada prestasi tinggi itu.
"Susulan kejayaan ini, Lembaga Pengarah mengisytiharkan bayaran dividen interim keempat sebanyak 13.0 sen sesaham bagi FY25 yang akan diagihkan kepada pemegang saham pada 16 Mac 2026," jelasnya.
Keadaan ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dividen yang diisytiharkan bagi tahun kewangan tersebut sebanyak 53.0 sen sesaham, dan kumpulan kekal optimis terhadap pasaran hartanah di Johor.
Tambahnya, prospek positif itu dipacu oleh pembangunan infrastruktur utama seperti projek RTS Link Johor Bahru-Singapura serta inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang semakin pesat.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan katanya, masih tetap berwaspada terhadap cabaran luaran seperti ketidaktentuan ekonomi global dan turun naik harga bahan binaan yang boleh menjejaskan hasil.
Country View berkata, bagi tahun kewangan 2026 pula, prestasi kumpulan dijangka terus disokong oleh kemajuan kerja dan jualan hartanah di Taman Nusa Sentral dan Aurora Sentral. - DagangNews.com








