Country Heights dikemuka petisyen gulung tikar oleh LHDN atas tunggakan cukai RM312,560 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Country Heights dikemuka petisyen gulung tikar oleh LHDN atas tunggakan cukai RM312,560

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 25 Julai – Country Heights Holdings Bhd memaklumkan bahawa kumpulan itu telah menerima petisyen penggulungan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tunggakan cukai berjumlah RM312,560.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Country Heights berkata petisyen tersebut telah difailkan terhadap anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Country Heights Commercial Development Sdn Bhd (CHCDSB), dan diterima pada 24 Julai.

 

Petisyen tersebut difailkan di bawah Seksyen 465(1)(e) dan Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016, yang memperuntukkan sesebuah syarikat boleh digulung oleh mahkamah sekiranya gagal membayar hutang melebihi jumlah minimum yang ditetapkan dalam tempoh 21 hari selepas menerima notis tuntutan berkanun daripada pemiutang.

 

Country Heights berkata CHCDSB dianggap tidak mampu membayar hutangnya selepas gagal mematuhi notis tuntutan berkanun yang dikeluarkan pada 25 Mac lalu.

 

CHCDSB, yang ditubuhkan pada tahun 1995, bukan merupakan anak syarikat utama kumpulan dan terlibat dalam operasi hartanah bukan kediaman serta pemegangan pelaburan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, CHCDSB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM922,098 dengan liabiliti semasa berjumlah RM34.22 juta dan modal berbayar sebanyak RM100,000.

 

 

 

 

 

 

Country Heights menegaskan petisyen ini tidak dijangka memberi kesan kewangan atau operasi yang ketara kepada kumpulan memandangkan CHCDSB bukan penyumbang hasil utama.

 

Namun demikian, kumpulan itu akan menilai sama ada sebarang peruntukan atau rosot nilai perlu dibuat bergantung kepada keputusan petisyen tersebut.

 

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 29 September sebagai tarikh pendengaran, menurut kenyataan kumpulan itu.

 

Saham Country Heights kekal tidak berubah pada 22.5 sen pada Khamis, dengan permodalan pasaran bernilai RM73.3 juta. - DagangNews.com