Coraza diyakini catat pertumbuhan luar biasa pada FY26 disokong permintaan tinggi peralatan pembuatan cip - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Coraza diyakini catat pertumbuhan luar biasa pada FY26 disokong permintaan tinggi peralatan pembuatan cip - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb – Coraza Integrated Technology Sdn Bhd dijangka mencatatkan pertumbuhan luar biasa pada tahun kewangan 2026, seiring dengan permintaan kukuh terhadap peralatan pembuatan cip (wafer fabrication equipment - WFE), menurut RHB Research.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan Beli untuk saham Coraza dengan harga sasaran RM0.83, menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 52 peratus daripada harga pasaran semasa RM0.545.

 

RHB Research berkata keputusan suku keempat FY25 Coraza dijangka menunjukkan pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya (YoY) dan juga suku sebelumnya (QoQ), berikutan kadar penggunaan kapasiti yang tinggi serta peningkatan daripada projek baharu.

 

“Saham Coraza dilihat terlalu rendah harganya selepas pasaran terlebih risau tentang risiko pertukaran mata wang asing (FX).

 

“Namun, kami percaya impak ini dapat diuruskan berikutan sebahagian besar pendapatan syarikat didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat dan sebahagian besar kos operasi juga berkaitan dengan mata wang tersebut,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Coraza mempunyai nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26F sekitar 13 kali, lebih rendah daripada purata syarikat pesaing, menjadikan saham ini berpotensi  bagi pelabur yang mencari peluang pertumbuhan pada harga berpatutan.

 

RHB Research berkata syarikat ini berada di landasan tepat untuk mencatatkan prestasi cemerlang pada FY26, dipacu oleh pendedahan yang tinggi dalam segmen front-end semikonduktor, kapasiti baharu, pengembangan proses sekunder dan peningkatan sumbangan daripada unit aeroangkasa.

 

“Industri peralatan semikonduktor dijangka terus berkembang dengan jualan global diunjurkan mencapai AS$145 bilion pada 2026, meningkat 9 peratus berbanding 2025, menurut jangkaan yang dikeluarkan oleh persatuan perdagangan antarabangsa bagi peralatan dan bahan semikonduktor (SEMI).

 

“WFE menjadi pemacu utama, didorong oleh pelaburan syarikat cip dalam cip berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan permintaan penggalak AI yang kukuh,” kata firma tersebut.

 

Beberapa syarikat besar global dalam industri peralatan semikonduktor termasuk ASML, Applied Materials, Lam Research dan KLA Corp telah menerima pesanan rekod dan memberikan ramalan prestasi positif bagi 2026. 

 

Sementara itu, Advantest pula mencatat keuntungan lebih tinggi daripada jangkaan dan meningkatkan panduan keuntungannya, menunjukkan bahawa industri peralatan ujian automatik (ATE) juga berpotensi mencatat tahun prestasi terbaik kedua berturut-turut.

 

RHB Research berkata kira-kira 80 peratus daripada pendapatan Coraza berkait rapat dengan rantaian bekalan semikonduktor, dengan 40-50 peratus pendedahan kepada segmen front-end yang menuntut piawaian tinggi. 

 

“Dengan semua faktor positif ini, Coraza dijangka mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat pada tahun kewangan 2026.

 

“Pertumbuhan syarikat dijangka bertambah kukuh dengan pengembangan pasaran boleh dicapai, keupayaan proses sekunder baharu di kilang sendiri, serta kapasiti tambahan di Plants 3 dan 5, membolehkan penembusan lebih mendalam dalam segmen front-end dan projek automasi baharu,” katanya.

 

Risiko utama yang dikenalpasti termasuk pesanan yang lebih perlahan daripada jangkaan, pemberhentian projek, kenaikan kos bahan mentah, kekurangan tenaga kerja, serta kesan negatif daripada perubahan kadar pertukaran asing. 

 

Keputusan FY25 Coraza dijadualkan diumumkan pada 24 Februari 2026. - DagangNews.com