KUALA LUMPUR 4 Jun — Gerakan ekonomi berasaskan komuniti, ConsuMerchant yang dibangunkan PGMall terus mencatat kemajuan positif apabila pesertanya kini melebihi 3.3 juta ahli di seluruh Malaysia.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Seri Louis Ng berkata, ia memperlihatkan penerimaan meluas terhadap model keusahawanan dan perdagangan digital yang berteraskan komuniti.
ConsuMerchant jelasnya, bukan sekadar menghubungkan pengguna dan peniaga dalam ekosistem digital, malah berfungsi sebagai platform pembangunan memupuk kerjasama, dan pertumbuhan ekonomi.

"Selain peningkatan pendapatan, ramai peserta berubah dari aspek keyakinan, kemahiran komunikasi, kepimpinan dan keusahawanan sebelum menjadi mentor kepada komuniti masing-masing," kata beliau.
Perkara itu didedahkan Louis pada pelancaran buku ConsuMerchant: Siri Kisah-kisah Kejayaan 2 & 3 bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Beliau yang juga penulis utama siri buku tersebut, serta Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA) melancarkan siri terbaharu itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Ilmu, Mohd Yusri Mohd Yusuf.

Louis turut gembira apabila buku terbitan kali memaparkan pertambahan kisah kejayaan diketengahkan yang membuktikan impak positif gerakan ConsuMerchant terus semakin berkembang di seluruh negara.
"ConsuMerchant bukan sekadar perniagaan, tetapi memperkasakan orang biasa agar berkembang bersama, saling membina peluang jangka panjang berkesan melalui ekosistem komuniti dipercayai," katanya.
Sejak penubuhan Public Gold pada 2008 dan PGMall pada 2017, syarikat sentiasa memperjuangkan model perniagaan yang berteraskan pemerkasaan komuniti, pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang.

Dalam pada itu, menurut PGMall, penerbitan itu menghimpunkan kisah-kisah transformasi sebenar individu daripada pelbagai latar belakang yang turut berjaya meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Jelasnya, kejayaan dicapai melalui penyertaan dalam ekosistem ConsuMerchant, merangkumi kisah suri rumah yang menjana pendapatan tambahan, dan pelajar yang membangunkan kemahiran keusahawanan.
"Turut dimuatkan kisah golongan profesional meneroka peluang baharu, pesara yang menjadi mentor komuniti dan peniaga kecil memperluaskan capaian pelanggan melalui platform PGMall," tambahnya.


Ujarnya, ketika semakin ramai mencari peluang pendapatan tambahan dan sistem sokongan komuniti yang kukuh, gerakan ConsuMerchant terus menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan.
Seiring perkembangan itu, syarikat berhasrat memperkukuhkan lagi ekosistem ConsuMerchant sebagai platform keusahawanan mampan, pemerkasaan komuniti dan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.
Buku ConsuMerchant: Siri Kisah-kisah Kejayaan 2 & 3 kini sudah boleh didapati menerusi platform e-dagang tempatan PGMall. - DagangNews.com








