ComTech Gold, PeerHive perkenal cara baharu dapatkan pembiayaan wang tunai daripada emas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ComTech Gold, PeerHive perkenal cara baharu dapatkan pembiayaan wang tunai daripada emas

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb – ComTech Gold (CGO), platform digital emas yang menawarkan pemilikan emas secara token, telah bekerjasama dengan PeerHive untuk memperkenalkan penyelesaian pembiayaan berasaskan emas kepada pelabur di Malaysia.

 

Kerjasama ini membolehkan pelabur menggunakan emas mereka sebagai cagaran untuk mendapatkan pembiayaan tanpa perlu menjual emas yang dimiliki. 

 

Inisiatif ini menyasarkan pelabur yang ingin mendapatkan tunai segera tetapi masih mahu mengekalkan kepentingan terhadap emas mereka.

 

 

 

 

 

 

 

Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut, pemegang token CGO – yang setiap satunya mewakili satu gram emas tulen 24 karat yang disimpan di peti besi berinsurans dan dikawal selia boleh menjadikan token sebagai cagaran untuk mendapatkan pembiayaan dari PeerHive.

 

Menurut pengasas ComTech Gold, Jignesh Ved, penyelesaian ini memberikan pelabur lebih fleksibiliti.

 

“Selama ini, pelabur emas biasanya perlu menjual emas untuk mendapatkan tunai, tetapi kini mereka boleh mengekalkan emas sambil memanfaatkan kenaikan harga jangka panjang.

 

“Setiap token CGO disokong oleh emas fizikal dan memastikan pemegangnya mempunyai hak milik manfaat (beneficial ownership) sepanjang tempoh pembiayaan. Emas itu tetap disimpan dengan selamat di peti besi yang dikawal selia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Berbeza dengan model pajak gadai atau jual-beli balik tradisional, struktur pembiayaan ini membolehkan pelabur mengekalkan hak milik emas sepenuhnya.

 

Penilaian token adalah telus berdasarkan harga emas antarabangsa (LBMA PM Fix).

 

Selain itu, penyelesaian ini dilengkapi kawalan risiko profesional termasuk had pinjaman berbanding nilai emas dan pemantauan margin bagi memastikan keselamatan pelabur dan pemberi pinjaman.

 

ComTech Gold menyediakan platform digital emas, penyimpanan dan pengurusan emas, manakala PeerHive menyediakan kepakaran dalam pinjaman berjaminan, penilaian kredit dan struktur pinjaman. 

 

Kerjasama ini membolehkan pelabur biasa menggunakan sistem pinjaman yang selamat dan terurus seperti yang digunakan oleh bank besar untuk emas mereka.

 

Perkhidmatan ini beroperasi di bawah peraturan UAE, tetapi turut dibuka kepada pelabur antarabangsa termasuk Malaysia, selaras dengan peraturan yang berkuatkuasa.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kerjasama ini dilihat sebagai alternatif moden kepada pembiayaan emas tradisional, membolehkan pelabur memanfaatkan nilai emas tanpa kehilangan hak milik.

 

Pelabur kini mempunyai pilihan fleksibel untuk mengakses tunai dengan kadar segera dan pada masa sama masih memiliki emas mereka. - DagangNews.com