KUALA LUMPUR 9 Mac - Pasaran modal Malaysia berpotensi berkembang kepada RM6.3 trilion menjelang 2030 dan seterusnya mencecah RM20 trilion menjelang 2045 sekiranya pembaharuan berterusan berjaya memperluas penyertaan pelabur, meningkatkan keaktifan pasaran serta membuka nilai merentas pelbagai kelas aset bagi menyokong transformasi ekonomi negara.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), saiz pasaran modal dijangka mencapai RM5.8 trilion menjelang 2030, didorong oleh pertumbuhan organik serta pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal Keempat 2026–2030 (CMP4).
SC menjelaskan, pasaran berpotensi berkembang sehingga RM6.3 trilion menjelang 2030, mencerminkan kesan positif usaha bersepadu termasuk insentif cukai dan pelaburan yang disasarkan, transformasi progresif syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), fleksibiliti akaun modal serta kejelasan dasar dalam bidang seperti kemampanan, pendigitalan dan kecerdasan buatan.
Pertumbuhan 5.5% hingga 7% setahun
Unjuran bagi 2030 itu mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) antara 5.5% hingga 7% dalam tempoh enam tahun bermula daripada RM4.2 trilion pada 2024, berbanding RM3.8 trilion pada 2023.
Pertumbuhan ini dijangka disokong oleh pembaharuan yang memperluaskan skop serta aktiviti dalam pasaran modal merangkumi ekuiti, bon dan sukuk.
Menurut CMP4, keaktifan pasaran tidak seharusnya dilihat secara sempit hanya dari segi permodalan pasaran atau kelajuan dagangan.
Sebaliknya, ia perlu diterjemahkan kepada ekosistem yang lebih dinamik dengan “lebih banyak produk, lebih ramai pemain dan lebih banyak aktiviti” dalam pasaran modal.
Pasaran modal sebagai hab inovasi
SC berkata pasaran modal Malaysia perlu berkembang sebagai hab inovasi yang dinamik, mampu menterjemahkan aspirasi pertumbuhan kepada pengembangan yang mampan.
Menurutnya, pasaran itu perlu beroperasi berasaskan teknologi generasi baharu, tahap sofistikasi yang lebih tinggi serta kesalinghubungan global.
Namun pencapaian aspirasi CMP4 bergantung kepada kerjasama dan penyelarasan kukuh antara semua pihak berkepentingan industri, disokong pembaharuan struktur dan langkah pemudahcara merentas kementerian serta agensi.
Kukuhkan kepimpinan dalam pasaran modal Islam
Menjelang 2030, CMP4 turut menyasarkan Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam pasaran modal Islam.
Pada masa sama, negara dijangka mengukuhkan reputasinya sebagai bidang kuasa yang dipercayai, dengan rangka kerja kawal selia yang menepati piawaian antarabangsa serta mengekalkan keyakinan pelabur dan integriti pasaran.
Sasaran sehingga RM20 trilion menjelang 2045
Selepas 2030, SC menjelaskan pasaran modal akan terus disusun semula bagi memastikan laluan paling optimum untuk mencapai sasaran lebih besar.
Saiz pasaran modal Malaysia diunjurkan boleh mencapai antara RM13.8 trilion hingga RM20 trilion menjelang 2045.
Bagi mencapai sasaran itu, pembaharuan lanjut mungkin diperlukan melibatkan undang-undang dan peraturan, pembangunan infrastruktur serta peluasan ekosistem bagi merangkumi pemain, produk dan perkhidmatan baharu.
Industri perlu menyesuaikan model perniagaan
SC turut menegaskan peserta pasaran modal seperti syarikat pembrokeran saham, firma pengurusan dana dan firma penasihat perlu menyesuaikan serta memperbaharui model perniagaan masing-masing.
Golongan profesional seperti remisier, perancang kewangan dan perunding unit amanah juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan struktur industri.
Menurut SC, gangguan struktur yang semakin ketara menuntut perubahan minda supaya industri kekal berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.
Teroka kredit swasta dan aset alternatif
Dalam pada itu, SC menjangkakan pasaran modal Malaysia akan mula meneroka wilayah baharu seperti kredit swasta dan aset alternatif bagi meningkatkan lagi keaktifan pasaran.
Fasa awal pembangunan dijangka berlaku secara berperingkat memandangkan aktiviti tersebut memerlukan pembentukan rangka kerja undang-undang terlebih dahulu kerana sebahagiannya masih belum dikawal selia.
Sementara rangka kerja kawal selia sedang diperhalusi, SC berkata pihaknya akan menambah baik platform ‘sandbox’ bagi membolehkan projek perintis dilaksanakan serta memberi ruang kepada eksperimen dalam produk dan model baharu pasaran modal. - DagangNews.com








