KUALA LUMPUR 23 Dis - Citaglobal Bhd menerusi anak syarikatnya, Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB), memperoleh dua kontrak projek infrastruktur bernilai keseluruhan RM82.7 juta di Johor dan Labuan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak pertama dianugerahkan oleh UDA Land (South) Sdn Bhd, anak syarikat kepada UDA Holdings Bhd, bagi kerja-kerja infrastruktur utama Projek UDA Enclave di Bandar UDA Utama, Johor Bahru, bernilai RM62.42 juta.
Kontrak yang diperoleh melalui tender terbuka itu merangkumi kerja pembersihan tapak, kerja tanah, pembinaan tembok penahan, jalan dan sistem perparitan, sistem pembetungan dan retikulasi air, serta infrastruktur elektrik.
Projek pembangunan yang menyasarkan pembinaan kediaman keluarga moden dan unit komersial itu dijadualkan siap pada Julai 2027.
Sementara itu, CLSB turut memperoleh kontrak reka dan bina bernilai RM20.3 juta bagi Projek Naik Taraf Jeti Labuan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Projek tersebut melibatkan pembinaan kaunter tiket baharu, ruang menunggu penumpang dan kawasan pemeriksaan, selain kerja naik taraf tanjakan utama dan sekunder serta kerja mekanikal, elektrikal dan luaran berkaitan.
CLSB memperoleh projek berkenaan melalui tender pra-kelayakan, dengan sasaran siap pada April 2028.
Dengan kemenangan kontrak terbaharu itu, Citaglobal berkata jumlah buku pesanan tertunggaknya kini mencecah RM1.8 bilion.
Sepanjang tahun 2025 sahaja, kumpulan itu memperoleh projek bekalan air mentah dan mitigasi banjir bernilai RM628 juta di Selangor, selain kontrak bernilai RM168.88 juta daripada JKR bagi menaik taraf jajaran utama Laluan Persekutuan 3.
Di luar bidang kejuruteraan awam, Citaglobal turut memperoleh projek tenaga solar berskala besar di bawah program LSS5+, melibatkan pembangunan loji solar fotovolta terapung berkapasiti 200 megawatt di Empangan Chereh, Kuantan.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, projek-projek ini mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepada Citaglobal untuk melaksanakan infrastruktur yang memberi manfaat kepada komuniti dan menyokong aktiviti ekonomi.
"Merentasi sektor pengangkutan, air, pembangunan bandar dan tenaga boleh baharu, keutamaan kami kekal untuk melaksanakan projek secara bertanggungjawab dan konsisten, sambil membina platform infrastruktur yang berdaya tahan dan pelbagai untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








