KUALA LUMPUR 13 Mac — CIMB Islamic Bank Berhad dan CIMB Foundation memperuntukkan RM2.2 juta bagi membantu lebih 40,000 individu dan keluarga kurang berkemampuan menerusi program Harapan Ramadan 2025 yang digerakkan di seluruh Malaysia.
Inisiatif khas tersebut mengukuhkan komitmennya dalam menyokong pelanggan dan masyarakat bersempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang dengan usaha sama bersama Yayasan Belia Malaysia dan Islamic Relief Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic dan CIMB Foundation, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, program tahun ini turut mengembangkan akses pasaran bagi membolehkan peniaga mikro mencapai khalayak lebih luas dan membangunkan perniagaan.
"Menerusi kerjasama itu, program ini dapat dilaksanakan secara berkesan, mencapai komuniti kurang berkemampuan dengan sokongan diperlukan, memupuk keterangkuman dan penglibatan bermakna bagi memperkasa golongan memerlukan di bulan mulia," katanya dalam satu kenyataan.
CIMB jelas beliau, amat komited dalam memacu impak positif dengan memastikan sokongan yang diberikan ke atas mereka, dapat mencerminkan keterangkuman dan pemerkasaan dalam kehidupan individu serta komuniti yang memerlukan.
Menerusi Harapan Ramadan, institusi itu memperluaskan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan sumber asas seperti makanan dan dana kewangan, sementara menyediakan peluang-peluang kepada perusahaan mikro untuk berkembang.
"Ini bukan sekadar bantuan, bahkan memperkasa semangat kebersamaan dan komuniti, memupuk nilai kebaikan, kasih sayang dan tanggungjawab sosial. Menerusinya, kami berharap dapat membawa sinar harapan dan meringankan beban serta memperkasa masyarakat seramai mungkin sepanjang bulan penuh keberkatan ini,” katanya.
Ahmad Shahriman berkata, CIMB juga akan terus mengukuhkan sokongan terhadap peniaga mikro dengan menyediakan platform untuk menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka melalui CIMB Harapan Ramadan Berkat Bersama.
Aktiviti dijalankan dari 10 hingga 14 Mac 2025 di jambatan penghubung antara stesen MRT Muzium Negara dan KL Sentral, melibatkan 14 peniaga menjual barangan bertemakan Ramadan dan Hari Raya termasuk kuih-muih, pakaian dan dekorasi rumah.
"Para peniaga mikro ini daripada Program Keusahawanan CIMB Islamic, CIMB Islamic-Taylor, iTAAJIR dan MicroBizReady CIMB Foundation. Inisiatif ini bermatlamat untuk memperkasa mereka membina kehidupan mampan dan memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang," katanya.
Sebagai program tahunan CIMB, Harapan Ramadan 2025 telah diperluaskan ke 100 lokasi seluruh negara, bagi menyokong golongan asnaf termasuk fakir miskin, anak yatim, keluarga B40, ibu tunggal, pelarian, pelajar tahfiz dan madrasah serta komuniti Orang Asli.
Penerima bantuan kata kata Ahmad Shahriman, diberikan kotak makanan keperluan dengan barangan ruji seperti beras, minyak masak dan makanan sedia untuk dimakan bagi meringankan bebanan kewangan pada bulan puasa dan untuk perayaan akan datang.
"Selain itu, elaun tunai juga disediakan kepada anak yatim untuk menampung keperluan dan membantu mereka membeli-belah persiapan Hari Raya," tambah beliau.
Dalam semangat kebersamaan, program iftar termasuk edaran bubur lambuk, dijalankan untuk memupuk jalinan komuniti di empat projek perumahan rakyat iaitu Bukit Jalil, Lembah Subang, Perumahan Awam Seri Selangor, dan Seri Alam yang dipacu CIMB baru-baru ini menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).
Sejak diperkenalkan pada 2022, program Harapan Ramadan telah berjaya menggerakkan dana lebih RM6.6 juta dan memanfaatkan seramai lebih 100,000 penerima daripada komuniti kurang berkemampuan.
"Program itu juga disertai lebih 700 sukarelawan CIMB dalam usaha-usaha kesukarelawan di seluruh Malaysia. Sebagai warga korporat bertanggungjawab, CIMB akan terus mendepani inisiatif yang menambah baik kehidupan dan ketahanan ekonomi komuniti terbabit," katanya. - DagangNews.com








