KUALA LUMPUR 27 Mac – CIMB Group Holdings Berhad mengumumkan komitmen membangunkan instrumen inovatif baharu memperluas ekosistem pelaburan patuh Syariah bersama-sama dua organisasi.
Inisiatif itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad di bawah projek perintis Makmal Inovasi Pasaran Modal Islam (FIKRALab).
Menurutnya, langkah itu sebagai usaha memperkukuhkan daya saing pasaran modal Islam negara dalam persaingan serantau yang semakin sengit, sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030.
"Inovasi dibangunkan ini bertujuan memperkembangkan peluang pelaburan dana patuh Syariah, yang membolehkan penyertaan lebih luas dalam pertumbuhan perbankan Islam di rantau ASEAN," jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin menerusi kenyataan berkata, pelaksanaan CMP membuka laluan baharu kepada transformasi pasaran modal negara yang inovatif dan berdaya tahan.
Kumpulan perbankan tersebut sebagai antara peneraju perbankan Islam di rantau Asia Tenggara tambah beliau, cukup berbesar hati apabila dapat menyokong usaha SC dalam merealisasikan visi berkenaan.
"Penyertaan CIMB kali ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap inovasi pasaran modal dan digital, khususnya dalam memperteguhkan aspek penawaran patuh Syariah kepada pelabur,” katanya.
CIMB ujar Novan, pada ketika ini berada pada landasan kedudukan yang kukuh dengan lebih separuh daripada buku pembiayaannya di seluruh Malaysia sendiri adalah bersifat amalan patuh Syariah.
Di Indonesia pula jelas beliau, anak syarikatnya sedang dalam proses pemisahan aktiviti perniagaan perbankan Islam untuk menjadi sebuah bank Islam sepenuhnya beroperasi di negara jiran tersebut.
Kerjasama dengan SC dan Bursa Malaysia ini juga selari dengan strategi Forward30 CIMB menjadikan kewangan Islam sebagai pemacu utama pertumbuhan, berteraskan skala, inovasi dan kelestarian.
Langkah proaktif itu dilihat memperkukuh peranan CIMB bukan sahaja sebagai peserta pasaran, malah sebagai penyumbang utama kepada evolusi seterusnya pasaran modal Malaysia. - DagangNews.com








