CIMB Securities semak turun unjuran pendapatan Aeon Credit susulan kerugian lebih besar, perluasan SST | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB Securities semak turun unjuran pendapatan Aeon Credit susulan kerugian lebih besar, perluasan SST

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai – CIMB Securities menyemak turun unjuran pendapatan Aeon Credit Service (M) Bhd susulan jangkaan kerugian lebih besar daripada Aeon Bank dan faktor perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

 

Menurut firma penyelidikan itu, Aeon Bank dijangka mencatat kerugian antara RM80 juta hingga RM90 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY26) berbanding unjuran awal sebanyak RM75 juta.

 

"Jangkaan kerugian lebih tinggi itu berpunca daripada pelancaran pelbagai produk baharu oleh Aeon Bank yang melibatkan kos permulaan besar.

 

"Antaranya kos melibatkan aspek infrastruktur digital dan sistem perbankan teras, termasuk penggunaan teknologi awan dan keselamatan siber," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sehubungan itu, CIMB telah menyemak semula unjuran pendapatan Aeon Credit, dengan pengurangan sebanyak 3 peratus bagi FY26, 1.8 peratus (FY27) dan 1.5 peratus (FY28).

 

Sementara itu, dalam mesyuarat agung pemegang saham yang berlangsung pada 25 Jun lalu, Aeon Credit turut memaklumkan bahawa kos berkaitan SST yang perlu ditanggung dijangka mencecah RM1.8 juta bermula Julai ini.

 

Walaupun Aeon Credit akan menanggung kos tambahan akibat SST, impaknya tidak begitu besar kerana cukai itu dijangka hanya mengurangkan keuntungan bersih syarikat sekitar 0.5% sahaja sepanjang tempoh FY26 hingga FY28.

 

Aeon Credit juga menjangkakan Aeon Bank hanya akan mula mencatat keuntungan selepas FY29. 

 

Ini selari dengan unjuran sebelum ini yang meramalkan kerugian tertinggi akan berlaku pada FY26, berkurang pada FY27 dan mencatat pulangan modal pada FY28.

 

CIMB turut menjangkakan Aeon Bank akan terus mencatat kerugian dalam beberapa tahun akan datang, disebabkan oleh keadaan ekonomi yang lemah, tempoh lebih panjang untuk mencapai keuntungan bagi platform digital, serta kos teknologi yang berterusan.

 

Selain itu, CIMB turut mengambil kira jangkaan pengurangan 25 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR), namun impaknya terhadap pendapatan Aeon Credit dijangka pada tahap minimum kerana kos pembiayaan syarikat kekal stabil dan kebanyakannya dikaitkan dengan bank-bank Jepun.

 

Firma itu juga menjangka pembiayaan pelanggan Aeon Credit akan terus berkembang secara sederhana dalam beberapa tahun akan datang.

 

Selepas semakan semula unjuran, CIMB menjangkakan pulangan atas ekuiti (ROE) akan menjadi lebih rendah sekitar 12.3 peratus, namun masih dalam julat panduan syarikat.

 

Berikutan pelarasan ini, harga sasaran saham Aeon Credit diturunkan kepada RM5.70, berdasarkan purata pulangan, kos ekuiti dan unjuran pertumbuhan jangka panjang.

 

CIMB menjangka tiada faktor jangka pendek yang boleh menaikkan harga saham Aeon Credit buat masa terdekat. 

 

Ini disebabkan Aeon Bank masih mencatat kerugian dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

 

Namun, saham Aeon Credit masih dianggap menarik kerana menawarkan dividen sekitar 5 peratus.- DagangNews.com