KUALA LUMPUR 9 Feb - Pusat Kewartawanan Bebas atau The Centre for Independent Journalism (CIJ) melahirkan kebimbangan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang membenarkan semula penggunaan perkataan “offensive” dan “annoy” di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), dengan alasan keputusan mahkamah itu menimbulkan risiko terhadap kebebasan bersuara.
Dalam satu kenyataan, CIJ menegaskan intipati keputusan mahkamah dalam kes Heidy Quah mengekalkan sifat jenayah terhadap ucapan dalam talian yang dianggap “offensive” dan bertujuan untuk “annoy”.
Menurut organisasi itu, keputusan tersebut melemahkan secara signifikan perlindungan perlembagaan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun mengakui bahawa kebebasan bersuara tertakluk kepada sekatan di bawah Perkara 10(2), CIJ berhujah bahawa sekatan sedemikian “mestilah memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa — dari segi kesahan, keperluan dan kesesuaian, dan tidak seharusnya terdedah kepada tafsiran subjektif akibat kegunaan yang samar dan luas”.
“Perlu ada risiko langsung dan boleh dibuktikan terhadap kemudaratan yang serius,” kata CIJ.
“Dalam praktiknya, ketiadaan ambang jelas dan sifat subjektif peruntukan ini membolehkan CMA digunakan secara politikal untuk menapis dan mengehadkan kritikan terhadap kerajaan serta atas dasar kaum, agama dan institusi diraja.
"Ini jelas bukan sahaja dalam kes Heidy Quah, tetapi juga dalam siasatan terkini terhadap Rex Tan, Fahmi Reza dan ramai lagi wartawan serta pengkritik politik,” tambah CIJ.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Persekutuan putuskan perkataan ‘menyinggung' dan ‘menjengkelkan’ dalam Akta Komunikasi dan Multimedia tidak bercanggah Perlembagaan
Organisasi itu menekankan hukuman di bawah Seksyen 233 CMA yang dipinda — denda sehingga RM500,000 dan penjara sehingga dua tahun — memerlukan klausa yang sempit dan tepat, bukan subjektif, bagi memastikan kepastian undang-undang serta perlindungan terhadap penguatkuasaan sewenang-wenangnya.
“Ia tidak sepatutnya menjadikan regulasi negara terhadap ucapan ‘yang boleh diterima’ sebagai norma dan membuka ruang untuk pendakwaan terpilih, terutamanya terhadap suara yang berbeza dan pengkritik kerajaan,” kata CIJ.
CIJ menegaskan keperluan masyarakat demokratik seperti Malaysia untuk memupuk wacana yang kritikal, tidak selesa dan berani, termasuk berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja.
“Peruntukan jenayah seharusnya menjadi langkah terakhir untuk kes-kes paling ekstrem yang mendorong keganasan segera, dan bukannya alat asas untuk menguruskan ketidakselesaan, gangguan atau perbezaan pendapat dalam wacana dalam talian,” katanya.
CIJ menyeru supaya Seksyen 233 CMA dimansuhkan, atau sekurang-kurangnya dipinda bagi memperkenalkan definisi yang lebih jelas dan sempit, yang menumpukan kepada kemudaratan yang boleh dibuktikan dan bukannya keterlaluan subjektif.
Organisasi itu juga menekankan perlunya aktivisme kehakiman yang lebih kuat dan pemeriksaan teliti bagi memastikan kebebasan bersuara dilindungi secara bermakna selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Dalam keputusannya, Mahkamah Persekutuan memulihkan perkataan “offensive” dengan niat untuk “annoy” sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 233. Panel lima anggota secara sebulat suara membatalkan keputusan mahkamah rayuan, dengan menyatakan bahawa perkataan tersebut tidak boleh dibaca secara berasingan, tetapi menekankan bahawa perlu ada ambang yang lebih tinggi untuk sebarang pendakwaan.
Hakim Mahkamah Persekutuan kanan Tan Sri Nallini Pathmanathan, yang membacakan keputusan panel, bagaimanapun menegaskan bahawa tindakan pendakwaan terhadap aktivis Heidy Quah adalah “tidak wajar dan salah”. - DagangNews.com








