China dijangka kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia — Duta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

China dijangka kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia — Duta

Sebagai anggota penting Global South, China dan Malaysia harus terus meningkatkan koordinasi dalam urusan antarabangsa dan serantau. - Grafik BERNAMA

KUALA LUMPUR 23 Dis - China dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-17 berturut-turut, dengan jumlah pelaburan terkumpul di negara ini melebihi AS$20.8 bilion (RM84.71 bilion), menurut Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

 

“Dengan berkuatkuasanya perjanjian pengecualian visa China-Malaysia pada 17 Julai 2025, membolehkan pemegang pasport kedua-dua negara memasuki negara masing-masing tanpa visa, 10 bulan pertama 2025 telah menyaksikan lebih empat juta pelawat dari China ke Malaysia,” katanya dalam ucapan pembukaan di sesi “Pelan baru, horizon baru: Taklimat mengenai Pelan Lima Tahun ke-15 China” di sini pada Isnin.

 

Ouyang menekankan, wajar terdapat penjajaran yang lebih baik antara Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Lima Tahun ke-15 China.

 

“Kita harus memanfaatkan kekuatan saling melengkapi, memantapkan integrasi dan kesalinghubungan rantaian industri dan bekalan, serta terus memajukan kerjasama Inisiatif Jalur & Laluan (BRI) berkualiti tinggi.

 

“China akan terus berkongsi pengalaman dan kepakarannya dengan Malaysia bagi membantu pembangunan kecerdasan buatan, kenderaan tenaga baharu, kedaulatan digital, komunikasi 5G, dan teknologi hijau, antara lain,” katanya.

 

Ouyang turut menyatakan, pelaksanaan berkualiti tinggi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) perlu dipastikan dan kedua-dua negara bersama-sama mendorong pelaksanaan awal Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas China-Asean 3.0.


 

Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing
                                    Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing

 


“Kita harus menegakkan perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi, serta menentang sebarang tindakan unilateralisme dan proteksionisme.

 

"Sebagai anggota penting Global South, China dan Malaysia harus terus meningkatkan koordinasi dalam urusan antarabangsa dan serantau, serta bersama-sama menjadikan sistem tadbir urus global lebih adil dan saksama.

 

“China telah menjadi pasaran kedua terbesar dunia bagi pengguna dan import, dengan skala ekonomi yang dijangka mencapai 140 trilion yuan [RM80.96 trilion] tahun ini.

 

"Dengan mengamalkan keterbukaan tahap tinggi dan kerjasama BRI berkualiti tinggi, China akan terus berkongsi peluang pembangunan dengan seluruh dunia,” katanya.

 

Sementara itu, pada sesi taklimat itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, berkata Pelan Tindakan Asean-China 2026-2030 akan meletakkan asas kukuh bagi peringkat seterusnya kerjasama dan menyokong pelaksanaan Asean 2045: Our Shared Future.

 

“Begitu juga, penandatanganan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China 3.0 pada Oktober 2025 adalah tepat pada masanya dan perlu, menawarkan peluang untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan membuka laluan baharu bagi kerjasama,” katanya.

 

Johari menyeru agar wujud kerjasama dalam memperkukuh hubungan ekonomi, meningkatkan kesalinghubungan serantau, mempromosikan pembangunan lestari, terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau, serta mengembangkan pertukaran rakyat ke rakyat.

 

“Yang paling penting, kita berkongsi tanggungjawab untuk menegakkan kestabilan dan kerjasama di rantau ini. Bagi Malaysia, penglibatan konstruktif, bukan spekulasi, sentiasa menjadi pendekatan kami,” katanya.

 

Johari menegaskan, dialog berstruktur membolehkan kedua-dua negara bergerak melepasi andaian, memahami keutamaan dasar secara langsung, dan mengenal pasti bidang kerjasama bermakna, sama ada dalam perdagangan, pelaburan, teknologi, daya tahan iklim, atau pertukaran rakyat ke rakyat. - BERNAMA