Chin Hin Group Property bangunkan projek perumahan RM1.1 bilion di Taman Connaught | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin Group Property bangunkan projek perumahan RM1.1 bilion di Taman Connaught

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Chin Hin Group Property Bhd bakal membangunkan projek perumahan berskala besar di Taman Connaught, Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.1 bilion.

 

Projek itu akan dilaksanakan Avion Connaught Sdn Bhd selepas menandatangani perjanjian pembangunan dengan Grand Uptown Sdn Bhd, pemilik tanah pajakan 99 tahun berkeluasan kira-kira 2.02 hektar.

 

Di bawah perjanjian tersebut, Avion Connaught akan membayar RM103 juta bagi mendapatkan hak pembangunan penuh, termasuk tanggungjawab terhadap reka bentuk, pembinaan, pemasaran, jualan dan hasil keseluruhan projek.

 

Projek yang terdiri daripada menara kediaman bertingkat tinggi dengan kemudahan ruang runcit dan tempat letak kereta ini dijadualkan bermula pada suku kedua 2026 dan siap pada suku kedua 2031.

 

Chin Hin Group Property menjangkakan projek itu akan menjana keuntungan kasar kira-kira RM210 juta, bersamaan margin kasar sekitar 18%. 

 

Pembiayaan projek pula akan diperoleh daripada gabungan sumber dalaman dan pinjaman bank.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pembangunan Hartanah Kumpulan, Chang Tze Yoong berkata, projek tersebut merupakan tambahan kepada portfolio pembangunan Chin Hin Group Property di ibu negara.

 

“Projek Taman Connaught ini sejajar dengan strategi kami untuk membangunkan projek kediaman berkualiti tinggi di kawasan bandar utama yang mempunyai potensi permintaan jangka panjang. 

 

"Dengan GDV melebihi RM1 bilion, projek ini dijangka menyumbang secara ketara kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh sederhana,” katanya.

 

Tambah beliau, pelaksanaan projek ini mencerminkan pendekatan berdisiplin kumpulan dalam mendapatkan pembangunan berkualiti di pasaran berpotensi tinggi, sejajar dengan matlamat kumpulan untuk membangunkan rangkaian projek kediaman mampan di Kuala Lumpur dan kawasan strategik lain di Malaysia.- DagangNews.com