CGSI turunkan 11.5% unjuran untung bersih Axiata bagi FY26 disebabkan sumbangan rendah CelcomDigi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGSI turunkan 11.5% unjuran untung bersih Axiata bagi FY26 disebabkan sumbangan rendah CelcomDigi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Feb – Unjuran keuntungan bersih teras ke atas Axiata Group Berhad bagi tahun kewangan 2026 (FY26) diturunkan sebanyak 11.5%, menurut CGS International (CGSI) dalam notanya.


Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi itu disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada CelcomDigi dan XLSmart, selain kesan pengukuhan ringgit berbanding mata wang operasi kumpulan.


Ia namun mengekalkan saranan ‘tambah’ dan harga sasaran (TP) berasaskan nilai aset bersih terlaras (RNAV) sebanyak RM3.22 sesaham, setelah mengambil kira pelarasan penilaian aset infrastruktur.


"Kami mendapati RNAV terhadap Axiata kini dianggarkan pada RM3.78 sesaham, iaitu 64% lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa, yang juga mencerminkan diskaun ketara sekitar 39%," jelas CGSI.


Justeru, ia berpandangan yang kejatuhan harga saham kumpulan telekomunikasi itu sebanyak 9.5% pada Januari 2026 susulan kebimbangan terhadap penilaian pengewangan syarikat edotco adalah berlebihan.


Selain itu, firma tersebut menganggarkan walaupun edotco dinilai pada andaian sangat konservatif iaitu 5 kali nilai keuntungan kasar bagi FY27, manakala RNAV Axiata masih kekal melebihi RM3.00 sesaham.


Penilaian edotco disemak turun bagi mencerminkan nilai lebih rendah aset di pasaran, dan CGSI turut menekankan yang laporan media mengenai harga penjualan kemungkinan tidak mencerminkan nilai akhir.


"Kami difahamkan, keadaan tersebut disebabkan isu had pemilikan asing sebanyak 49% ke atas aset Malaysia serta kemungkinan pengasingan aset tertentu," tambah firma penyelidikan berkenaan.


Di samping itu, ia melaraskan unjuran keuntungan bersih teras bagi FY27 dan FY28 masing-masing susut 24.0% dan 1.1%, namun perkara tersebut mungkin berubah ekoran penjualan edotco dan Link Net. 


Kata CGSI, dengan nilai jualan saksama dianggarkan RM10.9 billion, Axiata berpotensi meningkatkan keuntungan itu bagi FY26 dan FY27 masing-masing 16.1% dan 3.3%, jika berlaku pengurangan hutang.


Setakat akhir September 2025, hutang bersih syarikat induk kumpulan tersebut berjumlah RM6.4 bilion, sekali gus memberikan ruang kepada peningkatan pembayaran dividen selepas pelupusan aset.


"Kami melihat Hari Pelabur Axiata 2026 pada 9 Februari 2026 sebagai pemangkin penting memberikan kejelasan terhadap strategi pengewangan aset, dan dijangka memacu penarafan semula saham," katanya.


Sebagai sokongan penurunan risiko, kumpulan berkenaan turut komited membayar dividen sekurang-kurangnya 10 sen sesaham bagi FY25 dan FY26, yang menawarkan pulangan dividen sekitar 4.2%.


Bagaimanapun risiko utama kepada pandangan ini termasuk kegagalan pengewangan aset, ketidaktentuan geopolitik di pasaran utama operasi serta perubahan dasar kawal selia. - DagangNews.com