KUALA LUMPUR 6 Nov - Central Global Bhd (CGB) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Central Global Development Sdn Bhd (CGD), telah membatalkan tiga Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani dengan Chew Hian Tat (CHT) pada 21 Mei 2025, melibatkan cadangan pembelian tiga hartanah bernilai keseluruhan RM3.67 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kedua-dua pihak secara bersama untuk membatalkan ketiga-tiga perjanjian tersebut dan pada 6 November 2025, telah menandatangani tiga Surat Pemansuhan Perjanjian bagi melepaskan semua tanggungjawab serta syarat yang termaktub dalam perjanjian asal.
Tiga hartanah yang terlibat dalam pembatalan ini adalah seperti berikut:
1. Tanah kediaman pegangan bebas berkeluasan 1,143 meter persegi di Taman Bukit Sungai Long, Kajang, bernilai RM1.66 juta;
2. Tanah kediaman pegangan bebas berkeluasan 629 meter persegi di No. 21, Jalan Bukit Sungai Long 2/2, Cheras, bernilai RM910,000; dan
3. Tanah kediaman pegangan bebas berkeluasan 760 meter persegi di Taman Bukit Sungai Long, Kajang, bernilai RM1.1 juta.
CGB menjelaskan pembatalan perjanjian ini adalah sebahagian daripada langkah strategik syarikat untuk menyusun semula tumpuan perniagaan dan mengutamakan sumber terhadap peluang baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan lebih tinggi.
Deposit sebanyak 10% daripada nilai keseluruhan pembelian, iaitu RM367,000, yang telah dibayar oleh pembeli kepada penjual, telah dipulangkan sepenuhnya oleh penjual kepada CGD.
Lembaga Pengarah CGB menyatakan setelah meneliti semua aspek pemansuhan tersebut, keputusan ini adalah demi kepentingan terbaik Kumpulan CGB, sejajar dengan strategi jangka panjang syarikat untuk memperkukuh kedudukan kewangan dan operasi. - DagangNews.com








