Cenergi, Malaysia Airports bina loji solar 36MWp dilengkapi sistem BESS di KLIA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cenergi, Malaysia Airports bina loji solar 36MWp dilengkapi sistem BESS di KLIA

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Jan - Cenergi SEA Berhad (Cenergi) subsidiari UEM Lestra Berhad, bersama KLIA Aeropolis Sdn. Bhd., subsidiari milik penuh Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports), kini dalam proses membangunkan loji tenaga solar fotovoltaik berskala besar berkapasiti 36MWp yang diintegrasikan dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 45MWh di bawah program Solar untuk Penggunaan Sendiri (SELCO).

 

Projek yang dijalankan melalui Cenergi Aeropolis Renewable Energy Sdn. Bhd. (CARE), usaha sama antara Cenergi dan KLIA Aeropolis, terletak dalam kawasan KLIA Aeropolis dan direka untuk membekalkan tenaga bersih terus bagi operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, integrasi sistem penyimpanan tenaga itu menjadikan projek ini antara projek solar berskala besar awal di Malaysia yang menggabungkan BESS sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan tenaga dan kecekapan operasi.

 

 

 

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi Ir. Kwok Yew Hoe berkata, projek CARE menandakan penggunaan pertama Cenergi terhadap sistem BESS yang digabungkan dengan fasiliti solar berskala besar.

 

"Ia mencerminkan komitmen kami untuk memajukan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang inovatif dan boleh dipercayai, menyokong dekarbonisasi sambil meningkatkan ketahanan tenaga untuk infrastruktur kritikal,” katanya.

 

Bagi Malaysia Airports, projek ini adalah langkah penting dalam Peta Jalan Dekarbonisasi Net Zero iaitu menyokong sasaran 20% campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan Net Zero Karbon menjelang 2050.

 

“Integrasi penjanaan solar di tapak dengan penyimpanan tenaga membekalkan tenaga bersih ke KLIA sambil meningkatkan ketahanan tenaga dan memajukan komitmen kelestarian jangka panjang kami,” kata Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, .

 

Apabila siap, loji solar dan BESS CARE dijangka menjana kira-kira 46 GWh elektrik bersih setahun sepanjang tempoh projek selama 25 tahun.

 

Projek ini dijangka mengurangkan pelepasan karbon kira-kira 35,000 tan CO₂ setahun, bersamaan dengan mengeluarkan kira-kira 8,000 kenderaan dari jalan raya atau membekalkan tenaga kepada kira-kira 13,400 rumah setahun.

 

Penggunaan BESS membolehkan pengurusan tenaga yang lebih efektif, mengoptimumkan penggunaan tenaga solar, menyokong keperluan permintaan puncak, dan meningkatkan kestabilan sistem.

 

Ini turut menyokong usaha KLIA mencapai Tahap 4 Akreditasi Karbon Lapangan Terbang (ACA) serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam operasi lapangan terbang.

 

Projek CARE mencerminkan komitmen bersama Cenergi dan Malaysia Airports dalam memajukan inisiatif kelestarian dan menunjukkan bagaimana tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan tenaga boleh digunakan secara praktikal dalam infrastruktur kritikal.

 

 

 

 

 

 

Projek ini juga selaras dengan aspirasi negara untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih dan mengukuhkan ketahanan tenaga jangka panjang.

 

Melalui CARE, Cenergi terus mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui sambil menyediakan penyelesaian yang menggabungkan tanggungjawab terhadap alam sekitar, inovasi teknologi, dan kebolehpercayaan operasi- DagangNews.com