KUALA LUMPUR 2 Julai –Penyedia perkhidmatan korporat dan profesional, CC International Bhd (CCIB) menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Indah Secretarial (Penang) Sdn Bhd (ISPG) mengambil alih kesemua saham terbitan Alpadis Trust (Labuan) Ltd berharga RM3.5 juta (AS$750,000).
Pengambilalihan itu dimeterai menerusi perjanjian pembelian saham (SPA) dengan pemilik semasa Alpadis Group Holding yang beribu pejabat di Switzerland.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, CCIB menegaskan pengambilalihan itu selaras dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh perniagaan perkhidmatan profesional dan memperluas penawaran dalam bidang amanah, perancangan harta serta pengurusan kekayaan.
Alpadis yang diperbadankan pada 28 Mac 2011 adalah sebuah syarikat amanah berlesen yang beribu pejabat di Labuan.
Dengan modal saham AS$100,000, syarikat itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk perlindungan aset, perancangan harta pusaka, perancangan cukai dan pengurusan kekayaan kepada pelanggan antarabangsa.
Alpadis mencatat keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan juga FY24 meskipun keuntungan pada FY24 susut sedikit susulan pengurangan hasil yuran pengurusan.
Selepas pengambilalihan, Alpadis akan menjadi anak syarikat milik penuh ISPG dan seterusnya dimiliki secara tidak langsung oleh CCIB.
CCIB memaklumkan bahawa transaksi itu akan dibiayai sepenuhnya melalui lebihan hasil daripada penempatan saham persendirian yang telah selesai pada 26 Julai 2023.
Urus niaga tersebut akan dimuktamadkan dalam suku keempat tahun 2025 dan tidak akan memberi kesan material ke atas modal saham, aset bersih, pegangan saham utama mahupun nisbah hutang kumpulan bagi tahun kewangan semasa.
Bagaimanapun, ia diyakini akan memperkukuh kehadiran pasaran CCIB menerusi pemanfaatan pangkalan pelanggan sedia ada Alpadis terutamanya dalam segmen berpendapatan tinggi dan pelabur antarabangsa.
"Transaksi ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham sebaliknya hanya memerlukan kelulusan daripada Labuan Financial Services Authority (LFSA)," kata CCIB.
Urus niaga itu mewakili nisbah 3.5% mengikut syarat keperluan penyenaraian di bawah Bursa Malaysia - Labuan Market Listing Requirements menjadikannya transaksi yang bersifat langsung dan strategik.- DagangNews.com








