Catcha Digital beli 60% One International bernilai RM11.38 juta, teroka pasaran pameran perdagangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Catcha Digital beli 60% One International bernilai RM11.38 juta, teroka pasaran pameran perdagangan

Dari kiri, Oscar Ong – Naib Presiden Pelaburan, Catcha Digital Bhd; Eric Tan – Ketua Pegawai Eksekutif, Catcha Digital Bhd; Roger Lim – Pengarah Urusan, One International dan Mindy Mok – Pengurus Pentadbiran, One International
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Catcha Digital Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Catcha Connect Sdn Bhd, akan memperoleh 60% kepentingan ekuiti dalam One International Exhibition Sdn Bhd pada nilai tunai RM11.38 juta.

 

Bayaran dibuat dalam tiga peringkat sepanjang 24 bulan dan tertakluk kepada pencapaian PATAMI yang dijangka berjumlah RM2.75 juta dan RM3.16 juta masing-masing bagi tempoh 12 bulan pertama dan kedua selepas tarikh penyiapan. Urus niaga ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan sesaham Catcha Digital.

 

Pengambilalihan ini menandakan kemasukan strategik Catcha Digital ke dalam industri pameran perdagangan, memanfaatkan kekuatan acara sedia ada One International, rekod prestasi operasi yang terbukti dan model perniagaan margin tinggi.

 

Sebagai balasan, One International bakal mendapat manfaat daripada rangkaian, kepakaran digital, serta sokongan pembangunan korporat Catcha Digital termasuk pengambilalihan tambahan, pembiayaan modal dan kerjasama strategik.

 

Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata: “Roger dan pasukannya telah membina acara berprestij yang penting kepada industri pertanian dan pembinaan. Pengambilalihan ini memperluaskan portfolio kami ke dalam segmen pameran B2B di samping media digital B2C yang sedia ada.”

 

Pengarah Urusan One International, Roger Lim menyifatkan kerjasama ini sebagai bab baharu, dengan kepakaran digital Catcha Digital dilihat penting untuk meningkatkan nilai acara dan kedudukan pasaran.

 

Roger turut berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa MACEOS (2024–2026) dan ahli majlis Jawatankuasa Usahawan Muda Kamar Dagang Malaysia–China. Menurut MyCEB, acara perniagaan di Malaysia dijangka menarik 5.9 juta delegasi menjelang 2030, menjana RM42.12 bilion impak ekonomi dan mewujudkan lebih 25,000 pekerjaan.

 

Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada tujuh siri pengambilalihan strategik Catcha Digital dalam tempoh sembilan bulan, dengan sasaran gabungan keuntungan RM23.9 juta dalam tempoh 12 bulan pertama selepas penyiapan.

 

Antara syarikat yang diambil alih termasuk Theta Service Partner, DS Services, Framemotion Studio, Drive 2 Digital, Tastefully Malaysia dan Nexible Solutions, merangkumi sektor daripada perkhidmatan digital hingga penganjuran acara. Beberapa urus niaga masih menunggu penyiapan tertakluk kepada syarat terdahulu. - DagangNews.com