KUALA LUMPUR 5 Ogos – Carzo Holdings Bhd berdepan dua penghakiman ingkar berjumlah hampir RM6 juta susulan Maybank Islamic Bhd memulakan tindakan undang-undang terhadap anak-anak syarikatnya berhubung pinjaman bank yang belum dijelaskan.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata Carzo Sdn Bhd (CZSB) dan Carzo Import Sdn Bhd serta dua pengarah Carzo sebagai penjamin korporat telah diserahkan Penghakiman Ingkar bertarikh 9 Jun 2025.
Notis-notis tersebut, yang diserahkan pada 4 Ogos, turut merangkumi tuntutan statutori di bawah Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat 2016, iaitu langkah awal kepada potensi petisyen penggulungan syarikat.
Bagi CZSB, penghakiman ingkar tersebut menuntut bayaran sebanyak RM759,346.63 setakat 30 November 2024, selain caj keuntungan tambahan sebanyak 2.5 peratus melebihi kadar pembiayaan asas bank, dan caj pembayaran lewat sejak Disember 2024.
Satu lagi jumlah berasingan sebanyak RM2.8 juta turut dituntut, tertakluk kepada caj lanjut di bawah kadar Pasaran Wang Antara Bank Islam, berserta kos guaman sebanyak RM5,000.
Bagi Carzo Import pula, jumlah tuntutan merangkumi RM364,164.81 dan RM2 juta, kedua-duanya setakat 31 Oktober 2024, selain caj pembayaran lewat dan kos guaman RM5,000.
Penghakiman tersebut menamakan Datuk Seri Delon Lee Kean Yip dan Cheong Wai Keh sebagai penjamin peribadi bagi kedua-dua anak syarikat, manakala Carzo disenaraikan sebagai penjamin korporat.
Walaupun jumlah tuntutan adalah besar, lembaga pengarah menyatakan tiada "impak kewangan tambahan" akibat penghakiman tersebut, dan tiada gangguan terhadap operasi.
"Lembaga juga ingin memaklumkan bahawa tiada impak operasi yang timbul daripada penghakiman ingkar ini memandangkan kumpulan telah menghentikan perniagaan terasnya dalam pengedaran buah-buahan segar dan produk buah buat sementara waktu sejak November 2024," katanya.
CZSB dan Carzo Import sebelum ini terlibat dalam perdagangan, borong dan pemprosesan buah-buahan, sayur-sayuran serta produk makanan berkaitan.
Carzo berkata pihaknya telah mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perkara ini dan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material. - DagangNews.com








