KUALA LUMPUR 3 Feb - Peruncit fesyen Carlo Rino Group Bhd bercadang memindahkan penyenaraian saham syarikat daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Carlo Rino berkata syarikat itu telah memenuhi keperluan di bawah garis panduan ekuiti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), termasuk kriteria rekod keuntungan dan kedudukan kewangan.
TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama bagi cadangan perpindahan tersebut, yang dijangka dapat diselesaikan pada separuh kedua tahun ini.
Lembaga pengarah Carlo Rino berpandangan, cadangan perpindahan itu akan “meningkatkan lagi kredibiliti, prestij dan reputasi syarikat”, selain memberikan “pengiktirafan dan penerimaan yang lebih luas” dalam kalangan pelabur, termasuk pelabur institusi.
Menurutnya, langkah berkenaan juga mencerminkan skala operasi semasa kumpulan.
“Ini seterusnya akan meningkatkan daya tarikan dan kebolehpasaran saham Carlo Rino,” katanya, sambil menambah bahawa perpindahan itu turut mengukuhkan keyakinan pelanggan, pembekal, rakan niaga, pekerja dan pemegang saham.
Carlo Rino, yang sebelum ini dikenali sebagai CRG Incorporated Bhd, mula disenaraikan di Pasaran LEAP pada November 2018 sebelum berpindah ke Pasaran ACE pada Disember 2024.
Sehingga 19 Januari, kumpulan itu mempunyai modal saham terbitan sebanyak RM113.44 juta, merangkumi 977.52 juta saham.
Dalam pemfailannya, Carlo Rino berkata kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) disatukan beraudit kira-kira RM15.67 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025), serta PAT disatukan agregat sekitar RM58.82 juta bagi tiga tahun kewangan lalu (FY2023 hingga FY2025).
Sementara itu, PAT disatukan terlaras adalah kira-kira RM16.65 juta bagi FY2025, manakala PAT disatukan terlaras agregat bagi tiga tahun kewangan berkenaan adalah sekitar RM58.95 juta.
Setakat akhir Jun 2025, aset semasa Carlo Rino berjumlah RM131.56 juta berbanding liabiliti semasa RM13.97 juta, menjadikan nisbah semasa sebanyak 9.42 kali, sekali gus mencerminkan keupayaan kumpulan memenuhi obligasi jangka pendek.
Baki tunai dan bank serta dana jangka pendek berjumlah RM98.24 juta. Jumlah pinjaman — tidak termasuk liabiliti pajakan bagi butik dan ibu pejabat — adalah sebanyak RM6.32 juta, manakala pendapatan tertahan mencecah RM49.52 juta.
Kumpulan itu turut merekodkan aliran tunai bersih positif daripada aktiviti operasi bagi tiga tahun kewangan lalu, masing-masing RM35.06 juta pada FY2023, RM22.36 juta pada FY2024 dan RM17.51 juta pada FY2025.
Carlo Rino berkata ia telah memenuhi keperluan pegangan saham awam Pasaran Utama, dengan 25.4% daripada modal saham terbitannya dipegang oleh 4,746 pemegang saham awam yang memiliki tidak kurang daripada 100 saham setiap seorang.
Syarikat itu juga mematuhi keperluan ekuiti Bumiputera semasa penyenaraiannya di Pasaran ACE pada Disember 2024, dengan memperuntukkan 12.5% daripada saham terbitan diperbesarnya kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, serta 2.50% kepada pelabur awam Bumiputera.
Saham Carlo Rino ditutup tidak berubah pada 12.5 sen pada Jumaat, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM122.2 juta. - DagangNews.com








