KUALA LUMPUR 6 Feb - Carimin Petroleum Berhad mengumumkan pelantikan Dato’ Sandra Wong Lee Yun sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif berkuat kuasa 6 Februari 2026, menurut pemakluman syarikat minyak dan gas itu kepada Bursa Malaysia.
Wong, 73, merupakan seorang Akauntan Awam Bertauliah dan Ahli Seumur Hidup Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.
Menurut makluman di Bursa Malaysia, Wong mempunyai kepentingan langsung sebanyak satu juta saham dalam Carimin Petroleum Berhad.
Beliau membawa pengalaman luas merangkumi perbankan pelaburan, pembiayaan projek dan perancangan strategik, khususnya bagi projek pelaburan berskala besar serta pengambilalihan perniagaan strategik.
Beliau memulakan kerjaya di Ernst & Young sebelum menyertai Permata Chartered Merchant Bank dan Standard Chartered Bank sebagai pegawai perbankan pelaburan. Wong kemudiannya mengetuai bahagian perbankan pelaburan di Chase Manhattan Bank, yang kini dikenali sebagai JPMorgan.
Antara 1991 hingga 1996, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Kewangan dan Strategi di Kumpulan Renong, memainkan peranan penting dalam pengumpulan modal serta penstrukturan pinjaman dan instrumen kewangan.

Perintis Pembiayaan Islam
Wong juga dikenali sebagai perintis dalam memperkenalkan pembiayaan Islam ke dalam projek infrastruktur serta membangunkan instrumen pembiayaan baharu pada awal 1990-an.
Dari 1997 hingga 2000, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Tiasa Holdings Berhad, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Beliau pernah memegang jawatan pengarah di Sin Chew Media Corporation Bhd dari 2004 hingga 2008 serta di Kuala Lumpur Business Club antara 2008 dan 2017.
Pada 15 Julai 2020, Wong dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Export-Import Bank of Malaysia Berhad dan berkhidmat sehingga Julai 2024. Sepanjang tempoh tersebut, beliau mempengerusikan Jawatankuasa Audit, Pencalonan dan Ganjaran, selain menjadi ahli Jawatankuasa Risiko dan Kredit.
Pada masa ini, Dato’ Wong merupakan pengarah bukan bebas di Jaya Tiasa Holdings Berhad selepas penetapan semula jawatannya pada 1 Mac 2023, setelah sebelum itu berkhidmat sebagai pengarah bebas sejak 21 Jun 2007.
Beliau mempengerusikan Jawatankuasa Ganjaran dan merupakan ahli Jawatankuasa Audit syarikat berkenaan. Berkuat kuasa 1 Januari 2026, beliau turut dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di IGB Berhad dan menjadi ahli Jawatankuasa Audit, Pencalonan dan Ganjaran. - DagangNews.com








