KUALA LUMPUR 22 Jan – Carimin Petroleum Bhd, syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), memperoleh 19.5% kepentingan dalam Sealink International Bhd bernilai RM39.98 juta.
Pengambilalihan itu menjadikan Carimin sebagai pemegang saham terbesar kumpulan perkhidmatan marin luar pesisir berkenaan.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Carimin berkata, ia membeli 97.5 juta saham Sealink daripada pengerusi eksekutifnya, Lo Ling, menerusi transaksi perniagaan langsung pada harga 41 sen sesaham.
Harga pembelian itu mewakili premium 15.5% berbanding purata harga lima hari Sealink iaitu 35.5 sen.
Carimin berkata, pemerolehan tersebut dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman dan tidak melibatkan sebarang liabiliti atau komitmen kewangan tambahan.
Menurut Carimin, transaksi itu bersifat pelaburan semata-mata dan syarikat tidak mempunyai sebarang rancangan segera untuk terlibat dalam operasi Sealink, namun tidak menolak kemungkinan kerjasama pada masa hadapan khususnya dalam operasi kapal serta perkhidmatan penyelenggaraan.
“Pemerolehan ini memberi peluang kepada Carimin untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan jangkaan prospek dan pertumbuhan kumpulan Sealink akan diterjemahkan kepada trajektori positif harga saham Sealink,” katanya.
Ling, 70, sebelum ini muncul sebagai pemegang saham besar Sealink selepas memperoleh 68.08 juta saham pada 14 Nov 2025 menerusi urus niaga luar pasaran, yang meningkatkan pegangan beliau kepada 17.14%.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengerusi eksekutif kira-kira seminggu selepas itu.
Pada hari yang sama, pemegang saham utama Sealink Holdings Sdn Bhd, iaitu kenderaan pelaburan keluarga pengasas, melupuskan keseluruhan 21.82% kepentingannya bersamaan 109.08 juta saham pada harga kira-kira RM29.997 juta, atau 27.5 sen sesaham.
Sebelum pelupusan saham kepada Carimin, pegangan Ling dalam Sealink adalah 20.06%.
Susulan kemasukan Carimin, Ling kini mengekalkan kepentingan langsung sebanyak 0.56% dalam pemain pembinaan kapal dan perkhidmatan marin luar pesisir yang berpangkalan di Miri itu.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2025, Sealink mencatatkan kerugian bersih RM6.97 juta ke atas hasil RM134.7 juta, berbanding keuntungan bersih RM25.66 juta dengan hasil RM104.42 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com








