KUALA LUMPUR 30 Okt – Capital A Berhad memaklumkan semua syarat utama bagi pelupusan perniagaan penerbangannya telah dipenuhi sepenuhnya, menjadikan perjanjian jual beli dengan AirAsia X Berhad berkuat kuasa tanpa sebarang syarat tertangguh.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, perkembangan itu adalah bab terakhir dalam usaha menyatukan semua perniagaan syarikat penerbangan AirAsia di bawah satu kumpulan penerbangan tunggal.
Beliau berkata, ia juga satu permulaan perjalanan baharu bagi Capital A sebagai kumpulan pelancongan dan digital pelbagai platform.
“Semua surat persetujuan daripada pihak berkepentingan serta surat komitmen penempatan khas bernilai RM1 bilion bagi AirAsia X telah diperoleh, manakala pengecualian peraturan daripada pihak berkuasa Thailand selesai pada 17 Oktober lalu.
“Dengan perjanjian kini berkuat kuasa sepenuhnya, kedua-dua pihak akan meneruskan langkah-langkah seterusnya termasuk pengurangan dan pengagihan modal Capital A, peruntukan serta penyenaraian saham AirAsia X dan keperluan prosedur lain yang berkaitan.
“Semua proses ini dijangka dimuktamadkan menjelang Disember 2025, diikuti dengan permohonan keluar dari status PN17 pada bulan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, perkembangan itu adalah peristiwa penting yang bermakna kerana semua syarat utama telah dipenuhi dan perjanjian kini berkuat kuasa sepenuhnya. Sepanjang tahun lalu, pihaknya berusaha gigih untuk mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan dan mengatasi pelbagai halangan bagi merealisasikan urus niaga tersebut.
Beliau berkata, AirAsia Group akan menyatukan kesemua tujuh syarikat penerbangan AirAsia jarak sederhana dan jarak dekat di bawah satu platform untuk beroperasi sebagai satu rangkaian serantau.
“Pendekatan ini berfokus kepada penggunaan pesawat badan sempit seperti Airbus A321neo dan A321XLR bagi penerbangan jarak lebih jauh, meningkatkan kesalinghubungan, mengoptimumkan penggunaan pesawat dan mengurangkan kos seunit.
“Dalam masa sama, Capital A akan menumpukan usaha kepada lima syarikat pelancongan dan digital yang berpotensi tinggi, iaitu ADE (kejuruteraan), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform pelancongan), Santan (perniagaan makanan dan minuman), serta perniagaan pelesenan jenama dan harta intelek, Abc., yang akan dinamakan sebagai AirAsia NEXT.
“Perniagaan-perniagaan ini memanfaatkan ekosistem luas Capital A yang berasaskan data, teknologi dan penglibatan pelanggan bagi membuka nilai merentas platform,” katanya.
Dengan kepimpinan kukuh, keupayaan pelaksanaan yang terbukti serta budaya inovasi berterusan, Capital A berhasrat untuk terus mengembangkan lima syarikat ini, memacu pertumbuhan mampan serta mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham. - DagangNews.com








