Capital A peroleh kelulusan Mahkamah Tinggi untuk pengurangan modal RM5.51 bilion, langkah penting keluar PN17 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A peroleh kelulusan Mahkamah Tinggi untuk pengurangan modal RM5.51 bilion, langkah penting keluar PN17

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – Capital A Bhd menerima kelulusan Mahkamah Tinggi bagi pengurangan modal berjumlah RM5.51 bilion di bawah pelan regularisasi kumpulan itu, satu langkah utama ke arah pengeluaran status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu memaklumkan pelan regularisasi tersebut akan selesai selepas perintah Mahkamah Tinggi yang dimeterai difailkan dengan Pendaftar Syarikat, yang dijangka dilakukan pada minggu hadapan.

 

Selepas selesai pelaksanaan latihan regularisasi itu, Capital A menjangkakan dana pemegang sahamnya akan kembali positif. 

 

Kumpulan itu berkata, semua kriteria di bawah PN17 telah ditangani, namun pengeluaran status tersebut masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia.

 

“Kami kini sedang berusaha ke arah pengeluaran status PN17,” kata ketua pegawai kewangan kumpulan, Teh Mun Hui, dalam kenyataan itu.

 

Capital A turut menjelaskan kelulusan mahkamah itu diperoleh selepas kumpulan tersebut menyelesaikan pelupusan perniagaan penerbangannya, iaitu AirAsia Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd kepada AirAsia X Bhd pada awal bulan ini.

 

Ia kemudiannya disusuli dengan penyenaraian serta pengagihan saham AirAsia X yang layak diterima oleh pemegang saham Capital A.

 

Selepas pelaksanaan penuh pelan regularisasi, Capital A berkata, tumpuannya akan beralih kepada lima teras perniagaan bukan penerbangan kumpulan itu. 

 

Antaranya termasuk Asia Digital Engineering Sdn Bhd, yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), selain Teleport, AirAsia Move, AirAsia Next dan Santan. - DagangNews.com