Cape EMS kuasai 70% ekuiti Cape Wibawa, perluas jejak RE di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cape EMS kuasai 70% ekuiti Cape Wibawa, perluas jejak RE di Sarawak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 April - Cape EMS Berhad memperkukuh kehadirannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi pengambilalihan 70% kepentingan ekuiti dalam Cape Wibawa (Sarawak) Sdn Bhd (CWS) pada harga RM70,000.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pengambilalihan tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Cape Renewables Sdn Bhd (CRE), yang sebelum ini dikenali sebagai Good Hope Global Sdn Bhd.

 

Menurutnya, CRE telah memperoleh sebanyak 70,000 saham dalam CWS daripada Lim Tiong Soon, sekali gus menjadikan CWS sebagai platform strategik bagi memperluas operasi tenaga boleh diperbaharui kumpulan di Sarawak.

 

“Pengambilalihan ini bertujuan menerajui pembangunan dan pengembangan usaha niaga tenaga boleh diperbaharui di Sarawak, selaras dengan agenda kelestarian di peringkat nasional dan serantau,” katanya.

 

Cape EMS berkata, langkah tersebut dijangka memberi pelbagai manfaat strategik termasuk mempelbagaikan aliran pendapatan, meningkatkan keterlihatan pendapatan jangka panjang serta mengukuhkan kedudukannya dalam sektor RE yang semakin berkembang.

 

Selain itu, syarikat itu turut menjangkakan impak positif terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pengurangan pelepasan karbon dan peningkatan penggunaan tenaga bersih, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan serta keselamatan tenaga di Sarawak.

 

Mengulas lanjut, Cape EMS berkata pengambilalihan itu berpotensi menjana sinergi dalam operasi sedia ada, termasuk pengoptimuman kepakaran teknikal, kecekapan operasi dan penggunaan sumber.

 

“Ia juga membuka peluang kepada kerjasama strategik, kemajuan teknologi serta peluasan skala operasi ke wilayah lain, sekali gus mengukuhkan strategi pertumbuhan kumpulan,” tambahnya.

 

Bagaimanapun, syarikat itu mengakui terdapat beberapa risiko berkaitan pengambilalihan tersebut, termasuk risiko pasaran, kebergantungan kepada tenaga kerja teknikal serta risiko kewangan seperti kekangan aliran tunai dan lebihan kos.

 

Menurutnya, risiko berkenaan akan ditangani melalui kepelbagaian perkhidmatan, pemindahan pengetahuan secara berstruktur, pengurusan kewangan berhemah serta kerjasama strategik bagi menyokong pertumbuhan.

 

Dari sudut kewangan, Cape EMS menjelaskan pengambilalihan tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham serta tahap penggearan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. - DagangNews.com