KUALA LUMPUR 19 Feb – Cape EMS Berhad kini memfokuskan kepada segmen bernilai tinggi seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan Wireless IoT dalam membina asas pendapatan yang lebih berdaya tahan dan kukuh pada masa akan datang.
Pengarah Urusannya, Christina Tee Kim Chin berkata, ia juga adalah sebagai komitmen tinggi syarikat hasil kejayaan pemulihan yang dicapai pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q FY2026) yang diumumkan baru-baru ini.
Pada suku tersebut, Cape EMS kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM6.9 juta, menoktahkan kerugian bersih RM48.9 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi tersebut mencerminkan pemulihan ketara berjumlah RM55.8 juta tahun ke tahun di peringkat keuntungan bersih, didorong peningkatan margin dan pelaksanaan strategi transformasi Cape 2.0 yang mula membuahkan hasil.
Beliau berkata prestasi suku kedua turut menunjukkan penambahbaikan dari segi pendapatan sesaham yang meningkat kepada 0.71 sen, mencerminkan pemulihan keuntungan yang lebih mampan.
“Pemulihan kewangan itu turut disokong oleh pelaksanaan operasi yang lebih cekap serta pengurusan kewangan berhemah, termasuk pengurangan kerugian rosot nilai, susut nilai inventori bergerak perlahan dan tuntutan insurans inventori sebanyak RM1.6 juta.
“Pelaksanaan Cape 2.0 berpaksikan empat teras utama iaitu memperkukuh segmen EMS melalui kejuruteraan berketepatan tinggi bagi aeroangkasa dan sains hayat.
“Selain itu, kumpulan sedang membangunkan hab penyimpanan tenaga serantau menerusi kerjasama dengan Shanghai Sermatec bagi memperluas kehadiran dalam pasaran BESS,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam segmen Wireless IoT pula, Cape EMS menyasarkan rumusan perkhidmatan Wi-Fi dan rangkaian persendirian melalui anak syarikatnya, Ligowave Wireless.
Kumpulan juga memanfaatkan kepakaran iConn Inc. bagi membangunkan model Intelligent Manufacturing Network (IMN) yang berfungsi sebagai pengeluar maya bersepadu dan diselaras secara digital.
Sehingga 31 Disember 2025, kedudukan kewangan Cape EMS terus mengukuh dengan jumlah ekuiti meningkat kepada RM447.1 juta, manakala aset bersih sesaham bertambah kepada RM0.45, sekali gus mencerminkan penciptaan nilai yang lebih mampan kepada pemegang saham.
Pada separuh pertama (1HFY2026), Cape EMS merekodkan hasil sebanyak RM181 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) terkumpul RM11.5 juta, mencerminkan momentum operasi yang semakin kukuh. - DagangNews.com








