KUALA LUMPUR 22 Jan – Cabnet Holdings Berhad terus berkembang dalam segmen kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) selepas unit milik penuhnya, Cabnet M&E Sdn Bhd (CMESB) menerima dua surat anugerah daripada Haily Construction Sdn Bhd bagi kerja-kerja sistem elektrikal untuk projek di Johor Bahru, Johor, dengan jumlah nilai kontrak RM14,803,000.00.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Cabnet berkata, CMESB dilantik sebagai Subkontraktor Dinamakan bagi kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrikal untuk dua pembangunan berasingan di kawasan Jalan Bukit Meldrum.
Menurut syarikat, skop kerja melibatkan:
i) Cadangan pembangunan 5 unit kedai di aras 1, 2 unit kedai di aras 10 dan tempat letak kereta 1 tingkat di aras 2 di Lot PTB 24972, Jalan Bukit Meldrum, Mukim Bandar Johor Bahru, Daerah Johor Bahru, Johor, dengan nilai kontrak RM128,000.00; dan
ii) Satu blok pangsapuri servis setinggi 45 tingkat (748 unit) di Jalan Bukit Meldrum, Mukim Bandar Johor Bahru, Daerah Johor Bahru, Johor, dengan nilai kontrak RM14,675,000.00.
Cabnet memaklumkan kerja-kerja kontrak dianggap bermula pada 19 Januari 2026, iaitu tarikh anugerah, dan dijadualkan siap pada 31 Januari 2029.
Dari segi kesan kewangan, kumpulan berkata, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham sepanjang tempoh pelaksanaan, tanpa memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
Menurut Cabnet, risiko berkaitan kontrak merangkumi risiko operasi dan pelaksanaan lazim dalam urusan perniagaan biasa, yang akan ditangani melalui langkah mitigasi sewajarnya.
Syarikat turut menegaskan tiada pengarah atau pemegang saham utama, sama ada secara langsung atau tidak langsung, mempunyai kepentingan dalam kontrak yang dianugerahkan. - DagangNews.com








