KUALA LUMPUR 3 Nov – Selepas tertangguh selama lapan tahun, CAB Cakaran Corporation Bhd akhirnya akan memulakan operasi di Indonesia bersama konglomerat terbesar negara itu, Salim Group, menjelang suku kedua 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CAB Cakaran berkata, kelewatan sebelum ini berpunca daripada pandemik Covid-19 serta menunggu dasar dan garis panduan jelas selepas perubahan kerajaan di Indonesia.
Menurut syarikat itu, kedua-dua rakan usaha sama telah bersetuju untuk melaksanakan pelan perniagaan baharu selama lima tahun, dengan fasa pertama melibatkan pelaburan sebanyak US$10 juta (RM45 juta) bagi menubuhkan kilang pemprosesan makanan.
“Pelaburan tersebut tidak termasuk kos tanah dan bangunan kilang yang akan disewa bagi memulakan operasi di negara jiran itu.
“Pusat pemprosesan makanan berkenaan dijangka mula beroperasi menjelang suku kedua 2026, menjadi langkah permulaan bagi pelaksanaan penuh perniagaan ayam bersepadu di Indonesia di bawah pelan lima tahun itu,” kata CAB Cakaran.
Untuk rekod, CABINDO Poultry Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh CAB Cakaran, telah menandatangani perjanjian usaha sama (JV) dengan PT Ternak Ayam Terpadu Indonesia (TAT) pada 1 November 2017 untuk menubuhkan beberapa syarikat JV di negara itu.
TAT merupakan unit perniagaan di bawah Salim Group, dengan usaha sama ini bertujuan menggabungkan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak dalam menghasilkan produk ayam halal untuk pasaran pengguna Indonesia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan CAB Cakaran, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, kerjasama itu, CAB bukan sahaja memperoleh rakan tempatan strategik, tetapi juga akses kepada pelanggan sedia ada untuk produk yang bakal dihasilkan di Indonesia.
"Salim Group mempunyai rangkaian perniagaan yang sangat luas dalam sektor makanan, termasuk Indomaret, rangkaian kedai serbaneka terbesar Indonesia dengan 22,400 cawangan.
"Konglomerat itu juga memiliki Indofood Sukses Makmur, pengeluar mi segera terbesar dunia dan Bogasari, pengisar tepung terbesar di Indonesia, namun tidak terlibat dalam perniagaan ayam sebelum ini," katanya.
CAB optimis peluang pasaran di Indonesia sangat besar memandangkan populasi republik itu seramai 275 juta orang, lapan kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia, tetapi penggunaan ayam per kapita hanya 8.4 kilogram setahun, jauh lebih rendah berbanding Malaysia sebanyak 50.5 kilogram.
Selain sektor makanan, Salim Group turut mempunyai kepentingan dalam kewangan, runcit, telekomunikasi, automotif dan hartanah, dan memiliki empat syarikat tersenarai di Indonesia, Perancis dan Hong Kong.
Salim Group juga memegang 15.2% kepentingan dalam CAB melalui syarikat pelaburannya, Plant Wealth Holdings Ltd, sekali gus menjadikan konglomerat tersebut rakan strategik utama dalam langkah pengembangan CAB di pasaran Indonesia. - DagangNews.com








