KUALA LUMPUR 23 Jan — BWYS Group Berhad memperoleh kelulusan majoriti besar pemegang saham bagi pelupusan aset industri sedia ada dan perolehan tanah industri baharu di Kuala Langat, Selangor.
Kesemua dua resolusi tersebut disokong pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) berlangsung di ibu negara semalam sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula aset operasi kumpulan itu.
Jelasnya, majoriti pemegang saham bersetuju dengan usul pertama iaitu pelupusan sebidang tanah industri berstatus pegangan pajakan bersama bangunan pejabat dan kilang di Bukit Changgang, Kuala Langat.
"Aset anak syarikat milik penuhnya, BW Scaffold Industries Sdn Bhd itu, dijual kepada Yusin Machinery (Malaysia) Sdn Bhd, pada harga kira-kira RM67 juta," maklum BWYS dalam kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, langkah pelupusan ini bertujuan untuk membuka nilai aset sedia ada, memperkemaskan portfolio hartanah industri kumpulan serta menjana aliran tunai bagi menyokong keperluan operasi.
Pada EGM tersebut juga tambahnya, sebahagian besar pemegang saham meluluskan resolusi kedua iaitu cadangan pembelian sebidang tanah industri pegangan bebas di Mukim Tanjong Duabelas, Kuala Langat.
Katanya, pemerolehan aset baharu berkenaan daripada Compass IP Sdn Bhd, dengan pertimbangan tunai RM94.48 juta, dan dilihat sebagai langkah strategik untuk menyediakan tapak operasi yang lebih baik.
"Hartanah ini bersesuaian bagi menyokong pertumbuhan perniagaan teras BWYS, khususnya dalam segmen perancah dan perkhidmatan berkaitan industri, selain meningkatkan kecekapan operasi," jelasnya.
Kedua-dua resolusi menerima sokongan 99.99% undian pemegang saham dan keputusan pengundian disahkan oleh Aletheia Corporate Services Sdn Bhd selaku pemeriksa bebas dilantik. - DagangNews.com








