KUALA LUMPUR 17 Okt – Pimpinan Ehsan Bhd berdepan risiko digantung dagangan dan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia Securities Berhad selepas permohonan terbaharu syarikat itu untuk lanjutan masa menyiapkan pelan penyusunan semula ditolak.
Pimpinan Ehsan yang kini berada dalam kategori Nota Amalan 17 (PN17) berkata, ia telah menerima notis tunjuk sebab daripada Bursa Malaysia Securities yang memberikan tempoh lima hari pasaran sehingga 24 Oktober ini untuk mengemukakan penjelasan bertulis beserta bukti sokongan bagi menjelaskan mengapa dagangan sahamnya tidak sepatutnya digantung dan mengapa syarikat itu tidak sepatutnya dinyahsenarai daripada Pasaran Utama.
“Pimpinan Ehsan akan mengemukakan penjelasan bertulis kepada Bursa Securities dalam tempoh lima hari pasaran pada atau sebelum 24 Oktober 2025 seperti yang diperuntukkan,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ketika ini, Pimpinan Ehsan berada di fasa penting dalam usaha jangka panjangnya untuk keluar daripada status PN17 menerusi pelan penyusunan semula yang dirancang susulan pengambilalihan kumpulan tenaga boleh diperbaharui reNIKOLA Holdings Sdn Bhd.
Syarikat itu pertama kali mengumumkan rancangan untuk memperoleh reNIKOLA pada Mei 2021, dengan matlamat menyuntik aset tenaga solar yang menjana pendapatan baharu untuk syarikat.
Cadangan rasmi pelan penyusunan semula difailkan pada Jun 2022, melibatkan terbitan saham baharu dan penempatan persendirian bagi membiayai pembelian beberapa loji solar.
Pimpinan Ehsan kemudiannya memperluas pelan itu pada 2023 untuk merangkumi aset tenaga boleh diperbaharui tambahan, sementara Bursa Malaysia Securities meluluskan lanjutan masa sehingga 30 September 2024 untuk mengemukakan pelan akhir.
Bagaimanapun, dengan keputusan terbaharu ini, permohonan itu ditolak menandakan pendirian lebih tegas Bursa terhadap penyusunan semula PN17 yang tertangguh terlalu lama.
Pimpinan Ehsan telah berada dalam status PN17 selama beberapa tahun berikutan klasifikasi sebagai syarikat tunai selepas pelupusan aset terasnya sebelum ini.
Syarikat itu masih belum menyelesaikan pengambilalihan reNIKOLA atau melaksanakan pelan ekuiti yang dicadangkan.
Jika Bursa tidak berpuas hati dengan penjelasan syarikat yang bakal dikemukakan, ia boleh meneruskan tindakan menggantung dagangan saham Pimpinan Ehsan dan menyahsenaraikannya daripada senarai rasmi. - DagangNews.com








