Bursa Malaysia, TERAJU bina laluan IPO untuk syarikat Bumiputera berpotensi tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia, TERAJU bina laluan IPO untuk syarikat Bumiputera berpotensi tinggi

Bursa Malaysia dan TERAJU memeterai dua kerjasama strategik utama bagi memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb – Bursa Malaysia Berhad memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi menyokong dan memudahkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam pasaran modal Malaysia melalui penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO).

 

Sebagai bursa saham negara, Bursa Malaysia berperanan menjadi penghubung penting antara perniagaan, modal dan pelabur. 

 

Selari dengan aspirasi itu, kerjasama ini bertujuan memperkasa syarikat Bumiputera serta meningkatkan kepelbagaian pasaran, sekali gus membuka peluang baharu kepada penglibatan pelabur dan pertumbuhan ekonomi.

 

Di bawah MoC tersebut, Bursa Malaysia akan bekerjasama dengan TERAJU untuk membimbing dan melengkapkan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi supaya mematuhi keperluan penyenaraian IPO serta bersedia untuk disenaraikan. 

 

Inisiatif ini merangkumi sokongan nasihat berkaitan IPO, peluang jaringan dengan perantara pasaran modal, serta pelaksanaan program pembangunan kapasiti yang disasarkan.

 

TERAJU pula akan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk menyertai program kesiapsiagaan IPO, memudahkan akses kepada pembiayaan dan insentif yang diperlukan bagi menyokong peralihan ke pasaran awam, serta menyelaras kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, institusi kewangan dan pakar industri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata, pihaknya menantikan kerjasama strategik dengan TERAJU bagi memperkukuh kehadiran syarikat Bumiputera dalam pasaran modal.

 

“Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi nasional di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang menyasarkan pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30% menjelang 2035, sekali gus mencerminkan masa depan ekonomi yang lebih inklusif.

 

“Terdapat potensi besar yang masih belum diterokai dalam kalangan syarikat Bumiputera dan kami komited untuk menyokong mereka melangkah ke peringkat seterusnya sebagai syarikat tersenarai,” katanya.

 

t
Perjanian disaksikan (dari kiri, barisan belakang): Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Nor Azmie Diron.

 

Beliau menambah, kerjasama tersebut turut mencerminkan pendekatan proaktif Bursa Malaysia dalam membina rantaian IPO yang kukuh melalui penglibatan berterusan dengan bakal penerbit, selain bekerjasama rapat dengan rakan ekosistem seperti TERAJU.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi berkata MoC berkenaan adalah satu komitmen strategik dan berterusan untuk menyokong syarikat Bumiputera dalam perjalanan ke arah IPO yang berjaya.

 

Katanya, proses IPO memerlukan bimbingan, perancangan rapi dan disiplin yang tinggi, khususnya bagi menangani jurang ‘missing middle’ iaitu syarikat Bumiputera bersaiz sederhana yang mempunyai potensi pertumbuhan kukuh tetapi sering terpinggir daripada kerangka sokongan sedia ada.

 

“Melalui kerjasama dengan Bursa Malaysia ini, lebih banyak laluan akan dibuka untuk syarikat Bumiputera menyertai dan berkembang dalam pasaran modal menerusi pelaksanaan program dan inisiatif yang disasarkan,” katanya.

 

Selain MoC tersebut, anak syarikat Bursa Malaysia, Bursa Malaysia RAM Capital Sdn Bhd, turut menandatangani Surat Kerjasama berasingan dengan TERAJU bagi menyokong inisiatif untuk memudahcara pembiayaan dan kesiapsiagaan pasaran modal untuk perusahaan Bumiputera yang layak.

 

Inisiatif itu melengkapkan objektif ekosistem MoC secara keseluruhan, sekali gus membantu syarikat Bumiputera meningkatkan skala perniagaan dan membina saluran paip IPO yang lebih kukuh untuk penyenaraian di Bursa Malaysia.

 

Bursa Malaysia sebelum ini turut menyertai jelajah IPO bersama TERAJU di seluruh negara bagi memberi pendedahan kepada syarikat Bumiputera mengenai peluang dan keperluan penyenaraian dalam pasaran modal. - DagangNews.com