Bursa Malaysia mungkin berdepan tekanan ‘risk-off’ hujung 2026, susulan jangkaan PRU16 lebih awal – UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia mungkin berdepan tekanan ‘risk-off’ hujung 2026, susulan jangkaan PRU16 lebih awal – UOBKH

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Mei - Pasaran saham Malaysia dijangka berdepan sentimen “risk-off” atau berhati-hati pada penghujung 2026 susulan peningkatan jangkaan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal, kata UOB Kay Hian (UOBKH).

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehubungan itu  pelabur disarankan mengambil keuntungan menjelang suku ketiga 2026 berikutan sejarah prestasi lemah FBM KLCI menjelang pilihan raya umum sebelum ini.

 

Menurutnya, indeks penanda aras FBM KLCI didapati susut antara 3% hingga 6% dalam tempoh menjelang hari pengundian dalam tiga daripada empat pilihan raya terdahulu, sebelum merekodkan penurunan sehingga 16.5% selepas pilihan raya.

 

“Sentimen pelabur juga dijangka dipengaruhi kebimbangan terhadap kesan inflasi yang berpanjangan susulan konflik Iran, yang berpotensi membawa kepada semakan turun unjuran penggunaan dan pendapatan korporat,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Firma itu berkata PRU seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2028, namun terdapat kemungkinan ia diadakan lebih awal sekiranya Parlimen dibubarkan.

 

Selain itu, pilihan raya umum juga berpotensi diselaraskan dengan pilihan raya negeri Melaka dan Johor yang tamat tempohnya pada Februari 2027.

 

Dalam senario asas, UOBKH menjangkakan PRU16 akan berlangsung pada separuh pertama 2027, dengan jentera politik kerajaan dijangka lebih bersedia ketika itu, selain tekanan fiskal berkaitan subsidi petrol yang tinggi dijangka berkurangan.

 

“Kerajaan campuran sedia ada dijangka kekal berkuasa, namun dengan majoriti yang lebih kecil,” katanya.

 

Mengenai sektor tumpuan, firma itu berkata sektor pembinaan tidak semestinya mencatat prestasi kukuh memandangkan ruang fiskal kerajaan yang terhad serta keutamaan perbelanjaan lebih tertumpu kepada kos sara hidup rakyat berbanding projek infrastruktur.

 

Tambahnya, saham-saham sensitif politik yang sebelum ini sering dipengaruhi sentimen pilihan raya dijangka kurang menerima kesan ketara pada kitaran kali ini.

 

UOBKH turut mengekalkan unjuran FBM KLCI akan ditutup pada paras 1,760 mata menjelang akhir 2026. - DagangNews.com