KUALA LUMPUR 23 Jan – Bursa Malaysia akan melancarkan produk niaga hadapan baharu, Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLM), pada Isnin, 26 Januari 2026.
Produk ini direka untuk memperluas akses pelabur dan menyediakan cara yang lebih mampu milik untuk menyertai pasaran derivatif di Malaysia.
FKLM merupakan versi saiz kecil bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI), yang menjejaki FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), penanda aras utama negara yang merangkumi 30 syarikat tersenarai terbesar di Bursa Malaysia mengikut permodalan pasaran.
Setiap kontrak FKLM bernilai RM10 bagi setiap mata indeks, berbanding RM50 bagi kontrak standard FKLI.
Saiz kontrak yang lebih kecil ini mengurangkan keperluan modal permulaan, sekali gus menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelabur runcit.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed, berkata pelaburan dalam inovasi produk tetap menjadi teras strategi pasaran modal Malaysia sebagai entiti bursa pelbagai aset.
“Pelancaran FKLM adalah satu langkah penting dalam memperluas penyertaan pasaran derivatif kepada pelabur berpengalaman dan orang ramai.
“Dengan meningkatkan akses pasaran, Bursa Malaysia bukan sahaja mengukuhkan kecairan tetapi juga menyokong pertumbuhan mampan pasaran modal negara,” katanya dalam satu kenyataan.
FKLM memberi peluang kepada pelabur untuk mendapatkan pendedahan kepada FBM KLCI dan menyertai pasaran sama ada naik atau turun dengan lebih cekap dari segi penggunaan modal.
Saiz kontrak yang lebih kecil membolehkan pelabur menyesuaikan posisi dengan lebih fleksibel dan boleh digunakan sebagai alat lindung nilai, membolehkan pengurusan risiko terhadap turun naik pasaran jangka pendek tanpa perlu menjual pegangan jangka panjang.
Sementara itu, Pengarah Derivatif & Pasaran Karbon Bursa Malaysia, Mohd Saleem Kader Bakas berkata pelabur runcit sentiasa menyumbang bahagian ketara dalam aktiviti dagangan FKLI.
“Pengenalan FKLM memberi peluang kepada lebih ramai pelabur untuk memperoleh pendedahan serupa pada tahap kemasukan yang lebih rendah,” katanya.
FKLM akan didagangkan dalam Sesi Dagangan Pagi dan Petang (8:45 pagi hingga 5:15 petang waktu Malaysia, Isnin hingga Jumaat) dan Sesi Dagangan Selepas Waktu (T+1) (9:00 malam hingga 2:30 pagi waktu Malaysia, Isnin hingga Khamis). - DagangNews.com








