KUALA LUMPUR 12 Nov - Bursa Malaysia Securities Berhad mengenakan teguran awam terhadap Solar District Cooling Group Berhad (SDCG) selepas didapati melanggar Peraturan 3.10(1) di bawah ACE Market Listing Requirements (ACE LR) berhubung penyebaran pegangan saham awam (public shareholding spread, PSS) semasa penyenaraiannya pada 19 September 2024.
Pada tarikh penyenaraian itu, pegangan saham awam SDCG didapati hanya berjumlah 24.75%, berbanding sekurang-kurangnya 25% seperti yang ditetapkan dalam peraturan.
PSS merupakan syarat asas kemasukan ke Senarai Rasmi Bursa Malaysia bagi memastikan terdapat kecairan pasaran dan pegangan saham bebas yang mencukupi untuk perdagangan yang teratur dan adil.
Menurut Bursa Malaysia, tindakan disiplin itu diambil selepas proses siasatan selesai dan semua faktor termasuk tahap keseriusan pelanggaran, pengetahuan serta tindakan syarikat diambil kira.
“Keperluan PSS adalah asas penting bagi memastikan pasaran saham yang teratur serta melindungi kepentingan pelabur,” tegas Bursa Malaysia Securities dalam satu kenyataan.
Bursa Malaysia turut menjelaskan, walaupun tiada pengarah SDCG didapati menyebabkan atau membenarkan pelanggaran tersebut, lembaga pengarah telah diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk mengekalkan tahap tadbir urus korporat dan akauntabiliti yang tinggi terhadap pemegang saham serta orang awam.
Lembaga pengarah SDCG pada masa pelanggaran terdiri daripada Kong Kam Onn, Liuk Ing Hong, Ir. Dr. Khairul Azmy Kamaluddin, YM Raja Nor Azlina Raja Azhar, Wong Poh May dan Wong Keng Fai.
Pelanggaran itu berpunca daripada arahan SDCG untuk mengagihkan semula saham borang merah jambu tambahan kepada seorang pengarah anak syarikat milik penuh SDCG, yang tidak dikategorikan sebagai pemegang saham awam di bawah peraturan ACE LR.
Tindakan tersebut menyimpang daripada senarai agihan saham yang diluluskan oleh lembaga pengarah pada 2 Ogos 2024, menurut Bursa Malaysia.
Walaupun kekurangan PSS itu diperbetulkan pada penutupan dagangan hari yang sama selepas pengarah berkenaan menjual sahamnya di pasaran terbuka, Bursa menegaskan pemohon penyenaraian wajib mematuhi sepenuhnya syarat PSS sebelum kemasukan ke senarai rasmi.
Bursa turut mendedahkan SDCG telah diberi nasihat jelas supaya semua pengarah tidak memohon tambahan saham di luar senarai yang diluluskan, namun syarikat tetap meneruskan pengagihan tambahan itu tanpa memaklumkan penasihatnya.
Tindakan teguran awam tersebut dibuat menurut Peraturan 16.19(1) ACE LR dan berfungsi sebagai peringatan tegas kepada semua syarikat tersenarai mengenai kepentingan pematuhan ketat terhadap peraturan pasaran modal.
Solar District Cooling Group Berhad disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada September 2024 dan mencatat kenaikan 5 sen untuk berada di paras 56 sen semasa penutup Selasa, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM239.46 juta. - DagangNews.com








