Bursa Malaysia kemas kini data pelabur untuk gambaran pasaran lebih tepat berkuat kuasa 6 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia kemas kini data pelabur untuk gambaran pasaran lebih tepat berkuat kuasa 6 April 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb – Bursa Malaysia Berhad akan menambah baik kaedah untuk kategori pelabur dalam pasaran saham bagi memberikan gambaran lebih jelas tentang aktiviti perdagangan.

 

Langkah ini bertujuan membolehkan pelabur dan pihak berkepentingan lain melihat dengan lebih tepat siapa yang aktif membeli dan menjual saham, sama ada pelabur institusi atau individu.

 

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, sejak kebelakangan ini, penggunaan akaun pihak ketiga (nominee) semakin meluas. 

 

“Akaun nominee membolehkan pelabur memegang saham melalui pihak ketiga seperti broker, tetapi data lama ada kalanya tidak menunjukkan siapa sebenarnya pemilik saham tersebut.

 

“Dengan pengkelasan baharu ini, akaun nominee akan dibezakan mengikut jenis pelabur. Ini membolehkan analisis perdagangan pasaran menjadi lebih telus dan mencerminkan corak sebenar aktiviti pelabur,” katanya dalam  satu kenyataan.

 

Selain itu, pelaburan syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia juga akan dikategorikan berdasarkan sumber dana pelaburan, bukan sekadar pemilikan syarikat.

 

Pendekatan ini membolehkan aliran pelaburan domestik dilihat dengan lebih tepat, terutamanya apabila syarikat milik asing menggunakan dana daripada pelabur tempatan untuk aktiviti perniagaan mereka di Malaysia.

 

Bursa Malaysia menjangka perubahan ini akan mula dipaparkan dalam data rasmi mereka mulai 6 April 2026.

 

Pihak bursa telah memaklumkan perubahan ini kepada semua pelanggan data mereka sebagai amalan biasa.

 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bursa Malaysia untuk memastikan maklumat pasaran kekal relevan, telus dan mencerminkan dinamika perdagangan sebenar di pasaran saham tempatan.

 

Dengan inisiatif baharu ini, pelabur, penganalisis dan pihak berkepentingan lain boleh membuat keputusan pelaburan berdasarkan data yang lebih tepat, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap pasaran saham Malaysia. - DagangNews.com