Bursa Malaysia, Hong Kong Exchanges lancar indeks bersama, perkukuh keterhubungan pasaran serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia, Hong Kong Exchanges lancar indeks bersama, perkukuh keterhubungan pasaran serantau

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Mac – Bursa Malaysia Berhad dan Hong Kong Exchanges and Clearing Limited (HKEX) melakar sejarah baharu dalam kerjasama pasaran modal serantau dengan pelancaran HKEX Bursa Malaysia Large Cap Index, yang menggabungkan 30 syarikat utama Malaysia dan 30 syarikat besar Hong Kong.

 

Pelancaran ini adalah inisiatif pertama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini, bertujuan memperkukuh keterhubungan pasaran dan membuka peluang pelaburan rentas sempadan.

 

Indeks berjenama bersama ini dijangka menjadi penanda aras utama untuk produk pelaburan seperti Exchange Traded Funds (ETF), sambil meningkatkan keterlihatan syarikat tersenarai awam (PLC) Malaysia di mata pelabur serantau.

 

MoU tersebut juga merangkumi lima bidang strategik utama, termasuk:

  • Penyenaraian berganda antara Hong Kong dan Malaysia;

  • Pembangunan indeks berasaskan pasaran;

  • Peningkatan akses dan promosi ETF;

  • Pembangunan sekuriti patuh Syariah; dan

  • Kolaborasi dalam pasaran karbon

 

MOU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif HKEX, Bonnie Y Chan.

 

Fad’l Mohamed berkata, dalam persekitaran pasaran global yang semakin tidak menentu serta aliran modal yang bergerak secara dinamik merentasi geografi, usaha pengantarabangsaan menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan bursa.

 

“Kerjasama dengan HKEX selaras dengan usaha kami untuk meningkatkan keserakan pasaran, meluaskan peluang bagi PLC dan pelabur, serta memperkukuh keterhubungan dan keterlihatan Malaysia dalam landskap pelaburan global,” katanya.

 

Beliau menambah, pasaran Malaysia disokong oleh asas kukuh pelabur institusi domestik serta kepimpinan dalam pasaran modal Islam, sekali gus meletakkan Bursa Malaysia sebagai platform yang menghubungkan korporat patuh Syariah dengan modal serantau dan global.

 

“Pelancaran indeks ini menandakan mercu tanda penting awal di bawah memorandum persefahaman (MoU) ini, meningkatkan keterlihatan PLC Malaysia dalam kalangan pelabur serantau serta menonjolkan kepelbagaian sektor ekonomi negara,” katanya lagi.

 

Sementara itu, Bonnie Y Chan berkata, Malaysia berada di tengah-tengah Asia Tenggara — antara rantau yang berkembang pesat di dunia — dengan peluang menarik merangkumi sektor inovasi, pengguna dan sumber.

 

“HKEX pula merupakan rumah kepada salah satu pasaran antarabangsa paling dinamik di Asia, yang menawarkan keterhubungan eksklusif kepada peluang di China.

 

“Memperluaskan penglibatan kami dengan rantau ini merupakan keutamaan strategik utama ketika kami terus membangunkan ekosistem produk pelbagai aset serta menarik kecairan global ke Asia dalam keadaan ketidakpastian makro yang meningkat,” katanya.

 

Indeks baharu itu menggabungkan 30 syarikat utama Malaysia dan 30 syarikat bermodal besar Hong Kong yang layak untuk Southbound, sekali gus mencerminkan kekuatan dua pasaran utama Asia.

 

Komponen Malaysia dalam indeks tersebut merangkumi sektor utama yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, termasuk produk dan perkhidmatan pengguna (23%), perkhidmatan kewangan (20%), utiliti (13%), serta telekomunikasi dan media (13%). - DagangNews.com