KUALA LUMPUR 14 April – Bursa Malaysia Securities Bhd akan menggantung dagangan sekuriti Sentoria Group Bhd berkuat kuasa 21 April 2026 susulan perintah gulung tikar yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam satu makluman hari ini, Bursa Malaysia berkata tindakan tersebut dibuat selaras dengan Perenggan 16.02(1)(j) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.
“Penggantungan dagangan ini adalah selaras dengan peruntukan sedia ada di bawah keperluan penyenaraian,” kata Bursa Malaysia.

Pada 8 Januari 2026, Bursa Malaysia meluluskan lanjutan tempoh selama enam bulan kepada Sentoria sehingga 3 Jun 2026 bagi membolehkan syarikat mengemukakan pelan regularisasi.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia menegaskan ia berhak untuk menggantung dagangan sekuriti syarikat serta menyahsenaraikannya sekiranya Sentoria gagal mengemukakan pelan tersebut kepada pihak berkuasa kawal selia dalam tempoh ditetapkan. - BERNAMA








