Buku tempahan Binastra cecah paras tertinggi RM6.6 bilion didorong projek besar di Johor, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan Binastra cecah paras tertinggi RM6.6 bilion didorong projek besar di Johor, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Jan — Isu kritikal dialami Binastra Corporation Berhad dalam sektor pembinaan ketika ini bukan lagi kekurangan projek, sebaliknya keupayaan melaksanakan kerja berskala besar.


Kumpulan itu terus menarik perhatian penganalisis apabila secara konsisten tanpa tekanan kos dan kelewatan, mencatatkan buku tempahan melonjak ke paras tertinggi industri iaitu RM6.6 bilion.


Terbaharu, ia memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM743 juta daripada Maxim Pelangi bagi projek di Johor Bahru, sekali gus mengukuhkan kedudukan dengan keterlihatan pendapatan yang terpanjang.


RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Binastra dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.72, meningkat daripada RM2.69, mencerminkan potensi kenaikan 23% serta hasil dividen 3% bagi FY27.


"Kontrak terkini itu melonjakkan tender kumpulan setakat tahun kewangan FY26 kepada RM4.2 bilion, melepasi sasaran awal RM4 bilion," jelas firma penyelidikan tersebut dalam notanya hari ini.


Susulan itu katanya, baki buku tempahan syarikat pembinaan tersebut berjaya meningkat ke paras rekod kira-kira RM6.6 bilion, yang bersamaan dengan nisbah perlindungan hasil sebanyak tujuh kali.


Menurut RHB Research, projek utama The Address dianggarkan mencatat margin bersih sekitar 10%, manakala Johor kini menyumbang antara 30% hingga 35% daripada jumlah buku tempahan kumpulan itu.


Firma berkenaan turut melihat limpahan positif daripada projek RTS Link di Bukit Chagar yang dijangka merangsang lebih banyak pelancaran hartanah berhampiran dengan stesen rel berkenaan.


"Kami turut menekankan potensi tambahan di Johor termasuk fasa seterusnya projek The Asteriaz serta pembangunan tanah EXSIM yang menjana nilai pembinaan RM1 bilion kepada Binastra," katanya.

 

Artikel berkaitan: Binastra raih kontrak RM742.9 juta projek pangsapuri servis 72 tingkat di Johor Bahru


Sementara itu, Phillip Capital Research turut mengekalkan penarafan 'beli' dengan harga TP selama 12 bulan sebanyak RM2.60, berdasarkan unjuran gandaan 16 kali pendapatan sesaham (EPS) pada FY27.


Ia menyifatkan kontrak terbaharu sebagai kesinambungan kerja substruktur pada Julai 2025, dengan tender setakat FY26 mencecah RM4.1 bilion, melepasi anggaran awal RM3.5 bilion firma tersebut.


Menurutnya, baki buku tempahan Binastra kini berada RM6.5 bilion, juga bersamaan perlindungan hasil kira-kira tujuh kali, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh sehingga FY28.


"Bagaimanapun kami menegaskan yang tumpuan besar para pelabur ketika ini harus beralih kepada aspek pelaksanaan projek, kecekapan kos dan penghantaran keuntungan," jelas Phillip Capital.


Selain itu, ia turut positif terhadap prospek Johor, disokong peluang projek daripada pelanggan sedia ada termasuk tanah CPI di Tampoi dan pembangunan EXSIM di pusat bandar Johor Bahru.


Berdasarkan situasi semasa, kedua-dua firma penyelidikan sependapat bahawa risiko utama kepada Binastra adalah kelembapan pengisian semula buku tempahan pada masa hadapan.


Di samping itu, kumpulan berkenaan perlu berwaspada dengan kemungkinan tekanan kos, kelewatan projek tertentu dan risiko margin dalam persekitaran pelaksanaan kontrak yang berskala besar.


Namun secara keseluruhan, sentimen kekal positif dengan Johor muncul sebagai pemacu pertumbuhan utama kumpulan dalam beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com