BUDI95: Lebih 13.1 juta rakyat terima manfaat, jualan mencecah RM2.66 bilion setakat 31 Oktober 2025, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BUDI95: Lebih 13.1 juta rakyat terima manfaat, jualan mencecah RM2.66 bilion setakat 31 Oktober 2025, Parlimen diberitahu

KUALA LUMPUR 3 Nov – Lebih 13.1 juta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sejak pelancarannya pada bulan September dengan jumlah jualan mencecah RM2.66 bilion atau bersamaan 1.33 bilion liter sehingga 31 Oktober 2025.

 

Jumlah rakyat Malaysia yang layak menikmati manfaat subsidi tersebut ialah seramai 16.5 juta orang.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pelaksanaan BUDI95 pada bulan pertama berjalan lancar dengan sistem beroperasi dengan baik dan pengguna tidak perlu menunggu lama di stesen petrol.

 

 

 

 

 

 

“Kerajaan akan terus meningkatkan sistem subsidi RON95 supaya ia lebih menyeluruh, inklusif dan berkesan,” kata Lim dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan daripada Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara berfokus dan usaha kerajaan memastikan manfaat sampai kepada golongan berpendapatan rendah hingga sederhana.

 

Baru-baru ini, kerajaan telah memperluaskan senarai penerima yang layak, termasuk pengusaha bot dan memberikan kuota tambahan kepada pemandu e-hailing.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan tiada kelompok yang terpinggir daripada mendapat subsidi selaras matlamat utama program iaitu menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

 

Inisiatif BUDI95 mencerminkan usaha kerajaan untuk menyalurkan subsidi petrol dengan lebih berkesan, memastikan sokongan diberikan kepada rakyat Malaysia yang bergantung kepada RON95 untuk pengangkutan harian dan operasi perniagaan. - BERNAMA