Brite-Tech rancang kukuh pendapatan melalui pelaburan hartanah, sasar sumber hasil baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Brite-Tech rancang kukuh pendapatan melalui pelaburan hartanah, sasar sumber hasil baharu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Okt – Brite-Tech Bhd (BTech) merancang untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menubuhkan segmen perniagaan baharu dalam pelaburan hartanah, susulan peningkatan ketara sumbangan hasil daripada aktiviti penyewaan hartanah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu, memberitahu sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FYE2024) dan tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FPE2025), bahagian produk dan perkhidmatan alam sekitar kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil kumpulan — masing-masing mewakili sekitar 80.12%, 80.42%, 76.64% dan 77.03% daripada jumlah keseluruhan pendapatan kumpulan.

 

"Namun begitu, BTech kini giat meneliti saluran pendapatan alternatif bagi memperluaskan asas pendapatan syarikat. Berdasarkan laporan pengurusan segmen sejak FYE 31 Disember 2022, kumpulan telah mula mengiktiraf hasil daripada aktiviti penyewaan hartanah sebagai sebahagian daripada segmen pegangan pelaburan, yang merangkumi pendapatan dividen dan hasil sewaan," kata kenyataan itu.

 

Menurut BTech sebahagian besar hartanah kumpulan terdiri daripada kilang, gudang serta pejabat kedai yang pada asalnya dibeli untuk kegunaan operasi, namun kemudiannya disewakan selepas berlaku perubahan dalam struktur operasi akibat peluasan perniagaan. 

 

Dalam beberapa kes lain, hartanah tersebut dibeli bagi tujuan pelaburan menggunakan lebihan tunai syarikat.

 

Seiring dengan masa, nilai hartanah pelaburan ini meningkat dan memberikan sumbangan hasil yang lebih besar kepada kumpulan. 

 

Justeru, BTech berhasrat untuk menyusun semula struktur operasinya dengan memisahkan aktiviti penyewaan hartanah daripada segmen pelaburan umum dan menjadikannya satu segmen perniagaan tersendiri iaitu pelaburan hartanah.

 

Langkah ini akan membolehkan kumpulan memberi tumpuan khusus terhadap pengurusan dan pembangunan portfolio hartanahnya agar lebih selaras dengan matlamat strategik jangka panjang syarikat.

 

Cadangan pemelbagaian ini dijangka membuka peluang kepada BTech untuk menjana pulangan pelaburan yang stabil melalui hasil sewaan, selain berpotensi memperoleh keuntungan daripada penjualan semula hartanah pelaburan pada masa hadapan.

 

Sehubungan itu, Lembaga Pengarah BTech akan memohon kelulusan daripada para pemegang saham bagi melaksanakan Cadangan Pemelbagaian tersebut, selaras dengan Peraturan 10.13(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad. - DagangNews.com