KUALA LUMPUR 4 Nov – Sektor penjagaan kesihatan swasta di Sarawak mencatat sejarah apabila Borneo Medical Centre (BMC) melabur sebanyak RM20 juta untuk memperkenalkan dua sistem rawatan dan diagnostik kanser bertaraf dunia.
Dua sistem rawatan canggih tersebut ialah Halcyon Radiotherapy System dan Gallium-68 Prostate-Specific Membrane Antigen (PSMA) PET/CT Scan, yang pertama seumpamanya di Borneo.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan itu merupakan titik perubahan yang signifikan dalam landskap penjagaan kesihatan negeri.
“Langkah BMC yang melabur RM20 juta dalam teknologi rawatan terkini bagi memenuhi keperluan rakyat Sarawak akan mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur atau luar negara,” katanya di majlis pelancaran tersebut baru-baru ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Halcyon Radiotherapy System adalah salah satu sistem radioterapi paling maju di dunia yang mampu memberikan rawatan kanser dengan lebih pantas, tepat dan selesa, serta mengurangkan pendedahan radiasi kepada tisu sihat.
Sistem Gallium-68 PSMA PET/CT pula membolehkan pengimejan bersasar tinggi, khususnya bagi pengesanan awal kanser prostat, yang membantu meningkatkan kadar pemulihan dan kelangsungan hidup pesakit.
Tambahnya, inisiatif BMC itu selaras dengan visi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini hab kesihatan bertaraf serantau.
“Dengan mengintegrasikan teknologi dan inovasi, kita bukan sahaja memperkukuh keberkesanan rawatan perubatan tetapi juga memperkuat kedudukan Sarawak sebagai pusat rujukan perubatan serantau.
“Sarawak kini memiliki rangkaian pusat rawatan kesihatan moden serta tenaga profesional yang mahir, selain persekitaran semula jadi yang kondusif untuk pemulihan, menjadikan negeri ini destinasi ideal bagi pelancongan perubatan di rantau Borneo dan negara jiran,” katanya.
Pelaburan baharu ini juga menunjukkan komitmen BMC sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Sarawak dalam menyokong agenda negeri ke arah akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan berdikari untuk semua rakyat. - DagangNews.com








