BNM tumpu bantuan bersasar bantu PKS, belum sampai masanya untuk rangsangan menyeluruh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM tumpu bantuan bersasar bantu PKS, belum sampai masanya untuk rangsangan menyeluruh

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 31 Mac – Bank Negara Malaysia (BNM) tidak melihat keperluan untuk melaksanakan langkah rangsangan ekonomi secara menyeluruh dalam masa terdekat bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebaliknya akan memberi tumpuan kepada pendekatan bantuan bersasar.

 

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pendirian itu diambil memandangkan Malaysia memasuki persekitaran ekonomi semasa daripada “kedudukan yang kukuh”, walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

 

Menurut beliau, sektor perniagaan termasuk PKS telah menerima pelbagai bentuk sokongan sejak pandemik, merangkumi bantuan fiskal serta intervensi dasar yang dilaksanakan sepanjang lima tahun lalu.

 

“Bank-bank bersedia membantu peminjam, korporat dan PKS. Jika mereka menghadapi sebarang masalah kewangan, mereka boleh berhubung dengan bank dan pihak bank akan bersedia membantu,” katanya pada sidang media Laporan Tahunan 2025 BNM.

 

Beliau menambah, kebanyakan perniagaan kini berada pada tahap yang lebih berdaya tahan untuk mengharungi cabaran semasa berbanding sebelum ini.

 

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata sebarang keperluan bantuan tambahan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan perkembangan semasa ekonomi, dan bukan dibuat secara berasingan mengikut sektor tertentu.

 

“Kita tidak boleh mendekati perkara ini secara silo mengikut sektor. Ia perlu dilihat secara holistik dengan menilai keadaan keseluruhan ekonomi sebelum meneliti sektor mana yang memerlukan sokongan,” jelasnya.

 

BNM turut menegaskan komitmennya untuk terus berinteraksi dengan pemain industri melalui mesyuarat berkala serta platform seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara, bagi memastikan penilaian keadaan perniagaan dapat dilakukan dengan lebih tepat.

Dalam masa sama, bank pusat itu akan terus memantau perkembangan global dengan rapi dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan sokongan yang mencukupi dapat disalurkan kepada perniagaan tanpa perlu melaksanakan intervensi berskala besar. - DagangNews.com