BNM kekalkan bayar dividen RM5 bilion kepada kerajaan bagi 2025 walaupun keuntungan menyusut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM kekalkan bayar dividen RM5 bilion kepada kerajaan bagi 2025 walaupun keuntungan menyusut

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 MacBank Negara Malaysia (BNM) masih mengekalkan pembayaran dividen sebanyak RM5 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2025 meskipun mencatatkan penyusutan keuntungan.


Menurut Laporan Tahunan 2025 yang diterbitkan oleh bank pusat tersebut hari ini, perkembangan itu mencerminkan keutamaan terhadap kestabilan fiskal dan pengukuhan rizab kewangan.


BNM melaporkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM12.45 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, menurun 5.7% berbanding RM13.16 bilion pada tahun sebelumnya.


"Hasil keseluruhan turut susut kepada RM14.35 bilion daripada RM14.98 bilion pada 2024, selepas diambil kira kos pengurusan portfolio rizab antarabangsa dan operasi monetari," katanya.


Daripada jumlah keuntungan tersebut, RM5 bilion diagihkan sebagai dividen kepada kerajaan, manakala baki RM7.45 bilion dipindahkan ke rizab risiko yang meningkat kepada RM155.31 billion.


Angka berkenaan jelas BNM, berjaya dicatatkan setakat akhir 2025, berbanding hanya sebanyak RM147.90 bilion pada tahun sebelumnya.


Pengukuhan rizab risiko katanya, adalah penting memandangkan kira-kira 85% asetnya didenominasikan dalam mata wang asing, sekali gus terdedah kepada turun naik pasaran kewangan dan kadar pertukaran.


"Rizab antarabangsa kekal sebagai komponen terbesar aset bank pusat, berjumlah RM509.79 bilion, menyumbang sebahagian besar daripada keseluruhan asset," tambah laporan tersebut.


Secara keseluruhan, jumlah aset BNM susut 3.1% kepada RM602.22 bilion pada akhir 2025, berbanding RM621.54 bilion sebelumnya, disebabkan kesan terjemahan mata wang susulan pengukuhan ringgit.


Liabiliti pula berkurang 6% kepada RM405.47 bilion daripada RM431.47 bilion, didorong pengurangan komponen mata wang dalam edaran (RM177.7 billion) dan deposit institusi kewangan (RM118.0 billion).


BNM menegaskan operasinya tidak bergantung kepada pembiayaan kerajaan, sebaliknya disokong penuh pendapatan pelaburan rizab antarabangsa negara, dengan perbelanjaan pengurusan organisasi berjumlah RM1.86 bilion sepanjang 2025. - DagangNews.com