KUALA LUMPUR 29 Okt – Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan denda pentadbiran sebanyak RM17,400 terhadap JAGS Money Sdn Bhd kerana gagal mematuhi keperluan pengesahan pelanggan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.
Dalam satu kenyataan, BNM memaklumkan pelanggaran itu melibatkan transaksi pertukaran wang melebihi RM3,000.
“Transaksi itu memerlukan pengesahan maklumat pelanggan secara menyeluruh mengikut peraturan pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
“Kesalahan ini dikesan semasa pemeriksaan di tapak dan dikaitkan dengan tindakan seorang bekas pekerja,” kata BNM.
Sebagai langkah pembetulan, JAGS Money telah menambah baik garis panduan dalaman serta proses pemantauan bagi mengelakkan kecuaian serupa berulang lagi pada masa akan datang.
Sebelum ini, BNM turut mengenakan kompaun RM69,600 terhadap JAGS Money pada Julai lalu kerana gagal mengeluarkan resit bagi transaksi pertukaran wang, yang juga merupakan keperluan di bawah akta sama.
Justeru BNM mengingatkan semua perniagaan perkhidmatan wang berlesen supaya mematuhi sepenuhnya peraturan pencegahan pengubahan wang haram dan perlindungan pelanggan.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi peraturan.
“Langkah penguatkuasaan ini adalah sejajar dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Enforcement Approach yang diterbitkan oleh BNM,” katanya. - DagangNews.com








