KUALA LUMPUR 31 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4% hingga 5% berpotensi disemak semula sekiranya konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran berlarutan melebihi enam bulan serta mendorong harga minyak melepasi paras AS$110 setong.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank pusat itu telah menjalankan ujian risiko dengan mengambil kira pelbagai senario berdasarkan tempoh dan tahap gangguan konflik, termasuk kesannya terhadap pertumbuhan global dan pasaran tenaga.
“Senario asas kami adalah satu hingga dua bulan, manakala senario berkemungkinan antara tiga hingga enam bulan, dan senario risiko ekstrem adalah melebihi enam bulan,” katanya pada sidang media dialog tahunan BNM.
Menurut beliau, andaian harga minyak bagi setiap senario adalah antara AS$70 hingga AS$90 setong (asas), AS$90 hingga AS$110 (berkemungkinan), dan melebihi AS$110 bagi senario risiko ekstrem.

Katanya, unjuran pertumbuhan 4% hingga 5% bagi 2026 telah pun mengambil kira senario asas serta sebahagian daripada senario berkemungkinan, sekali gus menunjukkan ekonomi Malaysia masih berdaya tahan dalam keadaan tekanan sederhana.
“Berdasarkan senario tersebut, ekonomi kita masih mampu menyerap impak. Namun, jika keadaan bertambah buruk di bawah senario risiko ekstrem, terdapat ruang untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Abdul Rasheed berkata BNM turut menilai tahap kerosakan infrastruktur akibat konflik dalam membuat penilaian, namun mengakui ketidaktentuan kekal tinggi berikutan maklumat yang masih tidak jelas.
Setakat ini, harga minyak global mencatat purata sekitar AS$77 setong, masih berada dalam julat senario asas yang ditetapkan bank pusat.
Ketegangan geopolitik yang memuncak sejak akhir Februari 2026 telah mengganggu pengeluaran minyak dan gas serta rantaian bekalan global, termasuk aliran penghantaran melalui Selat Hormuz yang mengendalikan hampir 20% bekalan minyak dunia.
Gangguan tersebut, termasuk peningkatan kos insurans dan penarikan operator perkapalan utama, telah menolak harga minyak mentah Brent daripada sekitar AS$71 setong sebelum konflik kepada melebihi AS$100 pada awal Mac, sebelum stabil dalam julat AS$85 hingga AS$105 setong.- DagangNews.com








