BMS Holdings Berhad buka bilik pameran baharu di Seksyen 15 Shah Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BMS Holdings Berhad buka bilik pameran baharu di Seksyen 15 Shah Alam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 April – BMS Holdings Berhad memperkukuh strategi pengembangan runcitnya apabila membuka bilik pameran baharu di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor sebagai usaha memperluaskan kehadiran syarikat dalam pasaran bahan binaan dan hiasan dalaman.

 

Pembukaan ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk mengembangkan rangkaian bilik pameran di kawasan strategik yang mempunyai permintaan tinggi terhadap aktiviti ubah suai dan pembangunan hartanah.

 

Lokasi di Seksyen 15 itu dikenal pasti sebagai salah satu hab aktif industri ubah suai dan bahan binaan di Lembah Klang yang menjadi tumpuan kontraktor, pereka dalaman dan pembeli hartanah.

 

Kedudukan bilik pameran turut disokong oleh akses mudah melalui rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Persekutuan dan NKVE, yang memudahkan akses pelanggan dari sekitar Lembah Klang.

 

Bilik pameran berkeluasan kira-kira 11,000 kaki persegi itu turut dilengkapi dengan gudang seluas 3,100 kaki persegi bagi menyokong pengurusan inventori serta kecekapan operasi pengedaran.

 

Fasiliti baharu ini membolehkan BMS Holdings mempamerkan rangkaian produk yang lebih luas serta meningkatkan kecekapan pemenuhan pesanan bagi pelanggan runcit dan projek.

 

Dari segi penawaran produk, syarikat menyediakan pelbagai kategori termasuk jubin porselin dan seramik, batu semula jadi dan kejuruteraan, jubin mozek serta produk perkasan bilik mandi dan dapur.

 

Pengarah Urusannya, Ang Kwee Peng berkata selain segmen runcit, BMS Holdings Berhad turut mengendalikan perniagaan dalam segmen borong dan projek, menjadikannya kumpulan yang beroperasi merentasi pelbagai saluran pasaran.

 

“Syarikat turut memperkukuh kepelbagaian strategi pemasaran melalui penggunaan platform digital seperti Google Search, Google Maps serta media sosial bagi meningkatkan keterlihatan jenama dan menambah pelanggan.

 

“Bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, BMS Holdings melancarkan pelbagai kempen pembukaan termasuk promosi, pemberian hadiah serta aktiviti hujung minggu di bilik pameran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, inisiatif penglibatan pelanggan turut diperkenalkan termasuk ganjaran kopi percuma bagi menggalakkan penyertaan kontraktor dan pereka dalaman dalam program kesetiaan syarikat.

 

Pembukaan bilik pameran Shah Alam itu merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran yang menjadi tumpuan utama aktiviti ubah suai dan pembangunan hartanah di negara ini. - DagangNews.com