KUALA LUMPUR 14 Okt – Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu kerjasama strategik dalam pembangunan bakat dan usahawan bio serta pengkomersialan penyelidikan dan inovasi di Kelantan.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh komuniti melalui adaptasi bioteknologi dan penerokaan potensi sumber berasaskan bio, selain menggalakkan perkongsian ilmu dan sumber akademik.
Selain itu, kerjasama tersebut juga akan memperkasakan pembangunan platform teknologi, penganjuran program komuniti serta pembentukan model perniagaan alternatif untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, kerjasama ini akan memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk meneroka pekerjaan dan keusahawanan dalam sektor bioteknologi pertanian, penternakan berasaskan bio, pengurusan sisa, produk herba dan kesihatan semula jadi.
“Bersama UMK, kami ingin memastikan hasil penyelidikan dan inovasi dapat diterjemah kepada peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang sempena Festival of Ideas 2025 Peringkat Negeri Kelantan (FOI@Kelantan) di UMK Bachok.
Festival itu menghimpunkan pemikiran, idea, inovasi dan perbincangan intelektual bagi memperkasakan ekosistem inovasi tempatan.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMK, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah pula berkata, MoU tersebut memberi peluang kepada penyelidik dan pelajar universiti untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan industri dan komuniti melalui kursus pendek, program komuniti serta kerjasama R&D.
Bioeconomy Corporation merupakan peneraju pembangunan ekonomi negara dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Antara program utamanya termasuk Status BioNexus dan Bio-based Accelerator, yang menyokong pengkomersialan inovasi serta pertumbuhan syarikat berasaskan bio.- DagangNews.com








