Bintai Kinden raih kontrak RM25.2 juta bina lapan unit kilang di Golden Valley Hi-Tech Park, Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintai Kinden raih kontrak RM25.2 juta bina lapan unit kilang di Golden Valley Hi-Tech Park, Johor

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Okt – Bintai Kinden Corporation Bhd (BKCB) mengukuhkan kehadiran dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan negara apabila anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK), berjaya memperoleh kontrak bernilai RM25.20 juta daripada IED Construction Sdn. Bhd.

 

Kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja pembinaan utama bagi lapan unit kilang yang terletak di Golden Valley Hi-Tech Park, Kulai, Johor untuk Golden Valley Capital Sdn. Bhd.

 

"Projek ini dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh lima bulan, dengan jangkaan siap menjelang Jun 2026," kata syarikat tersebut dalam kenyataan.

 

Golden Valley Hi-Tech Park merupakan hab industri berteknologi tinggi yang terletak secara strategik di koridor pembangunan Johor, berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, serta zon ekonomi Iskandar Malaysia.

 

Projek ini disasarkan untuk industri pembuatan termaju, logistik dan perusahaan teknologi, dengan infrastruktur yang menyokong pelaburan mampan dan pertumbuhan industri bernilai tinggi – selari dengan aspirasi negara ke arah ekonomi berteknologi hijau.

 

Kontrak ini merupakan satu lagi kejayaan hasil pelaksanaan pelan pemulihan strategik dan penyusunan semula Bintai Kinden pada awal 2025, yang menyaksikan syarikat mengembangkan kepakaran dalam sektor pembinaan industri dan M&E.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Datuk Tay Chor Han berkata, kemenangan kontrak terbaharu ini menggariskan daya saing kami yang semakin meningkat dalam ruang pembinaan industri dan teknologi tinggi.

 

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan IED Construction dalam projek yang sejajar dengan momentum pembangunan di koridor pembuatan Johor,” tambah beliau.

 

Setakat ini, kumpulan mengekalkan buku pesanan tertunggak sebanyak RM143.63 juta, dengan buku tender aktif berjumlah RM542.87 juta, menandakan penyertaan agresif dalam pembidaan projek-projek baharu dalam sektor perindustrian, komersial dan awam.

 

Bintai Kinden turut memberi fokus kepada pelaksanaan berdisiplin, kerjasama strategik dan pertumbuhan mampan dalam meneroka peluang baharu yang dipacu permintaan terhadap kemudahan industri berkualiti tinggi di lokasi strategik seluruh negara.

 

Dengan asas perniagaan yang bertambah kukuh, sokongan projek baharu dan prospek pasaran yang stabil, Bintai Kinden kini berada pada landasan tepat untuk menjana nilai mampan kepada pemegang saham, serta mengukuhkan lagi reputasinya dalam landskap kejuruteraan dan pembinaan negara. - DagangNews.com