Bintai Kinden menang kontrak TNB RM44.7 juta kerja naik taraf aset di Bukit Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintai Kinden menang kontrak TNB RM44.7 juta kerja naik taraf aset di Bukit Tengah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 AprilBintai Kinden Corporation Berhad memperoleh surat penganugerahan kontrak berjumlah RM44.65 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kerja-kerja di Pulau Pinang.


Menurut makluman kumpulan kejuruteraan tersebut kepada Bursa Malaysia hari ini, tender berkenaan diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd pada 2 Mac 2026.


Kontrak itu melibatkan kerja penggantian dan naik taraf aset bagi peralatan utama dan sekunder serta pemasangan satu unit autotransformer 240MVA di PMU 275/132kV Bukit Tengah, Seberang Perai.


"Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan selama 730 hari dari tarikh mula, dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan ini sepanjang tempoh kontrak tersebut," kata Bintai Kinden.


Ujarnya, tiada risiko luar jangka yang dikenal pasti setakat ini selain risiko perniagaan biasa, manakala tiada kepentingan langsung atau tidak langsung melibatkan pengarah dan pemegang saham utamanya.


Kontrak berkenaan tambahnya, turut menandakan projek pertama kumpulan dengan TNB selepas berjaya keluar daripada status sebagai syarikat tersenarai bermasalah di bawah notis amalan 17 (PN17).


Jelasnya, perkembangan positif menerusi kontrak baharu TNB tersebut, sekali gus mencerminkan keyakinan semula pelanggan utama terhadap keupayaan teknikal dan kedudukan kewangan Bintai Kinden sendiri.


"Dengan kemenangan terbaharu ini, buku tempahan terkumpul syarikat ini meningkat kepada kira-kira RM199 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh dalam tempoh terdekat," katanya.


Pada masa sama, ia mempunyai tender aktif berjumlah RM2.08 bilion yang sedang dinilai, menunjukkan senarai projek sihat dalam segmen kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pembinaan.


Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Datuk Tay Chor Han berkata, pencapaian tersebut mencerminkan usaha pemulihan syarikat sejak beberapa tahun lalu. 


Beliau menambah, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peluang berkualiti dengan pendekatan berdisiplin bagi memastikan pertumbuhan dan penciptaan nilai jangka panjang. - DagangNews.com